PUTRASIHAT 10,000 LANGKAH UPM MERIAHKAN PENUTUPAN BULAN SINERGI PUTRA 2026 | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » PUTRASIHAT 10,000 LANGKAH UPM MERIAHKAN PENUTUPAN BULAN SINERGI PUTRA 2026

PUTRASIHAT 10,000 LANGKAH UPM MERIAHKAN PENUTUPAN BULAN SINERGI PUTRA 2026

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

Disunting oleh: Suziana binti Che Wil

SERDANG, 30 Jun – Program PUTRASihat 10,000 Langkah UPM telah berlangsung dengan jayanya sebagai acara kemuncak sempena Majlis Penutupan Bulan Sinergi Putra 2026, menghimpunkan warga Universiti Putra Malaysia (UPM), alumni serta komuniti kampus dalam usaha memperkukuh budaya hidup sihat, aktif dan sejahtera.

Bertempat di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), program ini berlangsung dalam suasana yang penuh semangat dan harmoni, mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan amalan gaya hidup sihat di samping mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus. Penyertaan yang memberangsangkan daripada pelajar, staf, alumni dan komuniti UPM membuktikan bahawa aktiviti berteraskan kesihatan mampu menjadi medium yang berkesan dalam memupuk kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.

Program ini turut disertai oleh Yang Berbahagia Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, FASc, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, yang seterusnya telah menyempurnakan Majlis Penutupan Bulan Sinergi Putra 2026 sebagai simbolik berakhirnya siri program yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Jun 2026. Pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang bulan tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh hubungan antara warga UPM, alumni dan masyarakat melalui program yang memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti.

Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, bersama-sama warga Pusat Perhubungan Alumni UPM yang sentiasa komited menyokong pelaksanaan program-program yang menggalakkan kesejahteraan, penglibatan aktif alumni serta memperkukuh jaringan antara alumni dan universiti.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen serta menjayakan Program PUTRASihat 10,000 Langkah UPM. Tahniah turut diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan cabaran 10,000 langkah, sekali gus membuktikan kesungguhan mereka dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Program ini bukan sahaja berjaya menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan warga universiti, malah menjadi platform yang memperkukuh semangat kebersamaan, kesukanan dan jaringan silaturahim antara pelajar, staf, alumni serta komuniti kampus. Nilai-nilai ini selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia dalam melahirkan komuniti universiti yang holistik, seimbang dan berdaya tahan.

Dengan berakhirnya Bulan Sinergi Putra 2026, diharapkan semangat yang dipupuk melalui program ini akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga UPM untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, aktif dan sejahtera. Melalui inisiatif seperti PUTRASihat 10,000 Langkah UPM, universiti akan terus komited dalam memperkasakan kesejahteraan komuniti serta memupuk budaya hidup sihat yang berkekalan demi manfaat warga universiti dan masyarakat.

 

Tarikh Input: 22/07/2026 | Kemaskini: 22/07/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (02:41:51am-02:46:51am, 12 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]