Serdang, 16 Julai 2025, Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penuh rasa tanggungjawab telah menyerahkan koleksi bahan bercetak bersejarah kepada Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) untuk tujuan penyimpanan, pemeliharaan dan rujukan jangka panjang.Koleksi yang diserahkan merangkumi bahan-bahan bernilai seperti akhbar lama, majalah Serdang Sun, dan keratan berita yang merakamkan sejarah penting, dokumentasi aktiviti serta sumbangan alumni kepada universiti. Penyerahan ini bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan usaha berterusan dalam melestarikan warisan UPM yang kaya dengan pencapaian dan legasi alumni yang membanggakan.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan segala rekod dan dokumentasi yang berkaitan dengan alumni dapat dipelihara secara sistematik dan menjadi bahan rujukan yang sahih dan bermanfaat kepada penyelidik, pelajar, dan masyarakat umum. Ia juga memberi ruang kepada generasi akan datang untuk menelusuri perjalanan dan pencapaian warga alumni UPM yang telah banyak menyumbang dalam pelbagai bidang.
Seiring dengan penyerahan ini, Pusat Perhubungan Alumni UPM turut menyertakan Rekod Penyerahan Bahan Arkib yang mengandungi maklumat lengkap setiap item yang disumbangkan. Pihak Alumni berharap agar bahan-bahan ini akan disimpan dengan cermat dan dimanfaatkan sebaiknya sebagai rujukan utama dalam usaha memelihara identiti dan sejarah institusi.
Tarikh Input: 17/07/2025 | Kemaskini: 17/07/2025 | ahmadamirul

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor