Pusat Perhubungan Alumni Santuni Anak-anak Yatim Dan Asnaf Raudhatul Jannah | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Pusat Perhubungan Alumni Santuni Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah

Pusat Perhubungan Alumni Santuni Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan



BANTING, 19 April - Pusat Perhubungan Alumni meneruskan tradisi menyantuni anak-anak yatim dan asnaf menerusi Program Tautan Mahabbah 2022. Program Tautan Mahabbah ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni dan pada tahun ini merupakan kali keenam program ini dijalankan.

Penganjuran program ini adalah untuk menunjukkan kebersamaan dan kecaknaan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan masyarakat di luar sana yang memerlukan bantuan, terutamanya anak-anak yatim dan asnaf.

Rumah Amal Raudhatul Jannah yang terletak di Banting, Selangor ini mempunyai 28 orang penghuni iaitu 16 penghuni lelaki dan 12 penghuni perempuan yang berusia lapan hingga 17 tahun. Mereka ini merupakan anak-anak yatim dan asnaf dari seluruh Malaysia yang datang menumpang kasih di Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah.

Turut hadir pada program itu adalah, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengasas Rumah Amal Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah, Tuan Haji Zawalajam Haji Mashod, pegawai dan staf, Pusat Perhubungan Alumni UPM.  

Menurut Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, program ini adalah program yang berterusan. Pada tahun sebelumnya, program ini telah dijalankan di salah sebuah rumah amal yang terletak di Bangi dan kali ini memilih Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting.

“Jika sebelum negara dilanda pandemik covid-19, kita akan menjemput anak-anak ini ke UPM dan insya-Allah pada masa akan datang, kebiasaan itu dapat dihidupkan kembali. Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang terutamanya kepada Prof. Madya Dr. Hamisah Hassan, Alumni Kelas 1998 yang merupakan penyumbang individu terbesar dengan jumlah sumbangan sehingga RM10,000.  Selain itu, terima kasih juga dizahirkan kepada Beras Faiza,  MyFundAction, para alumni lain dan juga staf UPM. Sumbangan anda telah pun kami sampaikan kepada anak-anak di Rumah Amal Raudhatul Jannah.”

Antara barangan sumbangan yang disampaikan ialah, kit kebersihan diri,  kit ujian kendiri Covid-19, barangan keperluan harian dan juga sumbangan duit raya. Dengan adanya sumbangan ini sedikit sebanyak memberikan kegembiraan kepada mereka ketika menjalani ibadah puasa dan seterusnya menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Lebih istimewa, kali ini kami juga menyediakan kit kesihatan yang mana ini sebagai tanda solidariti UPM ke arah negara menghadapi fasa Endemik. Ini sebagai tanda sokongan kepada komuniti untuk menjalani gaya hidup sihat dan selamat. Menerusi program ini juga ia sebagai satu usaha dan sokongan moral UPM dalam membantu masyarakat terutamanya individu yang mengambil cakna dengan komuniti setempat. Sumbangan-sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengusaha rumah amal menjalankan operasi setiap hari. Penglibatan UPM selaku institusi pengajian tinggi ini adalah sebagai satu khidmat masyarakat dan seterusnya dapat merapatkan jaringan antara institusi pengajian tinggi dan juga masyarakat.”

Menurut beliau lagi, program ini akan disusuli dengan Program Mawaddah Ramadan, yang mana Program Mawaddah Ramadan pula lebih berfokus kepada pelajar-pelajar UPM. Edaran makanan berbuka puasa dan bantuan Aidilfitri akan disalurkan kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar B40 dan juga asnaf. Kesinambungan kedua-dua program ini adalah untuk meyeimbangkan keprihatinan UPM terhadap komuniti setempat dan juga pelajar UPM.

Tambahnya lagi, menerusi Program Tautan Mahabbah dan Mawaddah Ramadan, apa yang dihasratkan oleh Naib Canselor UPM, YH. Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman menerusi Naratif Naib Canselor 2022 iaitu menjuarai misi universiti untuk masyarakat dan juga melibatsama alumni untuk kelangsungan universiti akan dicapai menerusi program-program yang telah dilaksanakan.

Namun objektif yang lebih penting adalah untuk bersama-sama menyantuni anak-anak yatim dan asnaf ini kerana Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa; “Orang-orang yang memelihara anak yatim di antara umat muslimin, memberikan mereka makan dan minum, pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni,” – (HR Tirmidzi dari Ibnu Abbas).

Tarikh Input: 27/04/2022 | Kemaskini: 04/05/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaAAM~