Pusat Perhubungan Alumni Antara PTJ Yang Komited Dalam Pelaksanaan EKSA | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Pusat Perhubungan Alumni Antara PTJ Yang Komited dalam Pelaksanaan EKSA

Pusat Perhubungan Alumni Antara PTJ Yang Komited dalam Pelaksanaan EKSA

Oleh  : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG - Ekosistem Kondusif Sektor Awam ataupun singkatannya EKSA, merupakan satu usaha untuk memperkasakan perkhidmatan sektor awam di negara ini oleh Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

EKSA mula diperkenalkan pada 2014, merupakan penjenamaan semula daripada Amalan 5S Sektor Awam yang mengetengahkan persekitaran dan budaya kerja yang lebih kondusif dan relevan dengan kemajuan dan pembangunan sektor awam di Malaysia.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh MAMPU ini merupakan satu penambahbaikan dalam pelaksanaan Amalan 5S. Langkah ini adalah selaras dengan usaha untuk memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi sektor awam.

Perlu difahami juga EKSA bukanlah menggantikan Amalan 5S yang diamalkan sebelum ini tetapi EKSA adalah untuk memantapkan Amalan 5S dengan penekanan kepada persekitaran yang kondusif dan semangat kerja berpasukan yang membawa imej korporat dan profesionalisme. Penjenamaan ini juga melibatkan kaedah pengauditan yang digunakan kerana konsep sebelum ini iaitu ‘one size fits all’ dilihat kurang tepat untuk memenuhi keperluan ke semua agensi kerajaan.

 

Secara khususnya, penjenamaan semula ini telah menyuntik semangat kerja berpasukan dalam usaha mengetengahkan imej sektor awam yang lebih mementingkan profesionalisme dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menterjemahkan ia kepada objektif iaitu, Meningkatkan imej korpora, Menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi, Menggalakkan aktiviti pembudayaan amalan kelestarian hijau, Mewujudkan persekitaran yang kondusif, Meningkatkan semangat berpasukan , Memupuk sikap bertanggungjawab dan Mengamalkan penambahbaikan secara berterusan.  

Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam penyataan komitmennya ada menyebut bahawa “Kami pekerja UPM komited mengamalkan budaya organisasi berprestasi tinggi melalui penyediaan persekitaran kerja yang kondusif serta budaya kerja berinovatif dan kreatif dengan berteraskan amalan hijau”.

Penyataan komitmen ini dilihat sejajar dengan kedudukan UPM yang telah diletakkan dalam kedudukan terbaik di Malaysia dalam UI Green Metric dan seiring dengan Aspirasi Naib Canselor 2022 iaitu aspirasi ketujuh iaitu mengekalkan  reputasi UPM sebagai Universiti paling lestari. Dengan misi melaksanakan tugas dengan cekap, berkesan dan lebih produktif, mewujudkan budaya kerja dan urus tadbir terbaik dan membina budaya dan nilai kerjasama yang cemerlang, UPM antara universiti awam di Malaysia yang memperkasakan EKSA dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan dengan persekitaran tempat kerja yang kondusif.

Menyatakan komitmen yang tinggi menerusi visi dan misi, Pusat Tanggungjawab (PTJ), Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) begitu komited dengan pengamalan EKSA apabila bermula Februari 2022, sepak mula EKSA telah dilancarkan untuk menghidupan budaya EKSA di ARCUPM. Dengan moto “Persekitaran Kondusif Pencetus Transformasi Kerja Berkualiti” di peringkat UPM, EKSA merupakan salah satu daripada kriteria penilaian penarafan bintang bagi sesebuah PTJ.

Pelaksanaan EKSA di PTJ UPM pula melibatkan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan yang berterusan. Kejayaan amalan ini adalah bergantung kepada penglibatan pihak pengurusan atasan sebagai pendorong serta kerjasama dan komitmen semua warga organisasi.  

Di PTJ ARCUPM, Ybhg. Prof Madya Dr. Arba’ie Sujud Pengarah ARCUPM merangkap Penaung EKSA ARCUPM menekankan penerapan imej korporat dengan mengutamakan suasana persekitaran tempat kerja yang bersih, kemas, selamat serta sistematik akan meningkatkan lagi visibiliti dan imej ARCUPM. Jika di ARCUPM pelanggannya daripada para alumni UPM yang kini mencecah angka 136,989 orang dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya, penerapan imej korporat dilihat sangat penting dan bertepatan.

Selain itu, melalui amalan EKSA peningkatan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan juga dapat dipertingkatkan dengan pengendalian urusan di kaunter misalnya lebih pantas, cepat dan selamat. Pelanggan terutamanya alumni akan berpuas hati apabila diberi layanan yang cepat serta mesra pelanggan yang pastinya hubungan ini akan terjalin secara berterusan kerana kualiti perkhidmatan yang diberikan memenuhi kehendak pelanggan.

 

Pemantapan amalan EKSA di ARCUPM terus disemarakkan apabila kempen pengamalan pembudayaan EKSA di ARCUPM secara menyeluruh dilancarkan oleh Fasilitator EKSA ARCUPM, Nik Hafzaini Nik Hassan yang dibantu oleh Penyelaras EKSA ARCUPM Mohd Sahrizan Mat Yatim.  Setiap komponen yang digariskan dalam Buku Garis Panduan EKSA Siri 2,  2022 perlu dipatuhi oleh setiap staf yang merangkumi pengauditan seperti Keperluan Utama Pelaksanaan, Ruang Tempat Kerja/Pejabat, Tempat Umum, Keselamatan Persekitaran, Kawasan Persekitaran Pejabat dan juga tempat-tempat khusus(sesuai mengikut keperluan agensi).

Pembudayaan EKSA di ARCUPM terus diperkemaskan dengan penubuhan Jawatankuasa Utama EKSA iaitu Jawatankuasa Promosi, Jawatankuasa Latihan dan juga Jawatankuasa Audit. Kesemua Jawatankuasa ini mempunyai skop tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam terus mengukuhkan pembudayaan, pengamalan dan seterusnya pemantapan EKSA di ARCUPM.  EKSA di ARCUPM bukan sahaja membawa maksud Ekosistem Kondusif Sektor Awam tetapi bagi ARCUPM EKSA turut diterjemahkan sebagai Eratkan Kerjasama Sesama Alumni.

Secara umumnya, EKSA dilihat bukan sahaja platform untuk memperkasa sektor awam semata-mata tetapi pembudayaan EKSA turut dapat memupuk nilai murni, kesepakatan dan keseragaman dalam budaya kerja. Justeru dalam pada kita membawa satu imej korporat yang tinggi, amalan EKSA juga menjamin mutu kerja yang berkualiti.

Tarikh Input: 02/11/2022 | Kemaskini: 11/01/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaMAD~