Oleh: Nur Syamimi Mohd Nor
Disunting oleh: Ahmad Amirul Alias

Serdang, 25 September 2025 - Usaha pengumpulan data bagi penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid diteruskan dengan sesi temu bual bersama seorang lagi responden pada hari ini. Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Dr. Mohamad Azmie bin Zakaria (Alumni Kelas 1980), yang juga merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, atas kesudian beliau berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan tokoh tersohor universiti tersebut.
Meskipun beliau bukan antara anak didik langsung Allahyarham Pak Rashid, Dato’ Dr. Azmie menyimpan pelbagai kenangan hasil interaksi dan pemerhatian terhadap keperibadian tokoh berkenaan. Salah satu peristiwa yang masih diingati ialah ketika beliau ditegur oleh Pak Rashid kerana memasukkan tangan ke dalam poket seluar, satu tindakan yang dianggap kurang sopan dan mencerminkan sifat angkuh. Teguran itu menjadi pengajaran bermakna yang membentuk kefahaman beliau tentang pentingnya menjaga adab dalam setiap tindakan.

Menurut Dato’ Dr. Azmie, ketegasan Pak Rashid bukan sekadar dalam soal disiplin dan ilmu, tetapi juga dalam membentuk budi pekerti yang tinggi. Beliau menegaskan bahawa keilmuan tanpa adab tidak membawa makna, kerana akhlak yang baik melengkapkan keperibadian seseorang insan.

Legasi Allahyarham Pak Rashid terus hidup dalam memori warga kampus serta para alumni, menjadi simbol keteladanan dan sumber inspirasi kepada generasi seterusnya.
Tarikh Input: 23/10/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor