PROSES PENGUMPULAN DATA BAGI PENERBITAN SEJARAH LISAN PAK RASHID 04 | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » PROSES PENGUMPULAN DATA BAGI PENERBITAN SEJARAH LISAN PAK RASHID 04

PROSES PENGUMPULAN DATA BAGI PENERBITAN SEJARAH LISAN PAK RASHID 04

Oleh: Nur Syamimi Mohd Nor 

Disunting oleh: Ahmad Amirul Alias

Serdang, 25 September - Proses pengumpulan data bagi penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid telah dijalankan oleh Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 25 September 2025. Sesi temu bual tersebut melibatkan Dr. Ahmad Badri Muhamad, Alumni Kelas 1970, yang juga merupakan anak didik kepada Allahyarham Cikgu Mohd Rashid ketika menuntut di Kolej Pertanian Malaya serta salah seorang penulis buku Memoir Cikgu Mohd Rashid.

Dalam sesi perkongsian itu, Dr. Ahmad Badri menzahirkan rasa penuh kesyukuran kerana diberi kesempatan untuk menulis dan mendokumentasikan kisah hidup Pak Rashid, seorang insan yang begitu unik dan amat berharga di mata masyarakat. Menurut beliau, Pak Rashid merupakan tokoh pendidik yang berjiwa besar serta sentiasa berjuang membangunkan anak-anak Melayu tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Dr. Ahmad Badri turut berkongsi perjalanan hidupnya yang penuh inspirasi. Walaupun tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, beliau akhirnya ditawarkan untuk menyambung pengajian di Kolej Pertanian Malaya, Serdang, Selangor. Di situlah bermulanya pertemuan bersejarah dengan Pak Rashid yang banyak membentuk keperibadian dan semangat beliau sebagai seorang pendidik.

Sebagai pesanan kepada generasi muda, beliau menekankan pentingnya menjadi insan yang berfikiran jauh dan berjiwa besar. “Untuk meraih kejayaan, seseorang perlu mempunyai cara berfikir yang hebat,” ujarnya. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap amal yang dilakukan dengan hati yang ikhlas dan penuh kesungguhan pasti akan membuahkan hasil.

Di bumi UPM yang subur ini, jasa dan sumbangan Pak Rashid diibaratkan seperti akar yang menyuburkan pohon ilmu. Akar budi dan ilmunya akan terus hidup, dikenang oleh generasi terdahulu, kini dan selamanya.

Tarikh Input: 23/10/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (09:04:36am-09:09:36am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]