Oleh: Nur Syamimi Mohd Nor
Disunting: Ahmad Amirul Alias

18 September 2025 - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) kini giat melaksanakan proses pengumpulan data bagi penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid. Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif khas universiti dalam mendokumentasikan kisah serta sumbangan tokoh-tokoh penting yang telah banyak berjasa kepada institusi ini.
Dalam siri pengumpulan data terkini, ARCUPM berpeluang menemu bual salah seorang bekas pelajar yang pernah dididik oleh Allahyarham Pak Rashid, iaitu Dr. Mohamad Ali Sekak, alumni Universiti Putra Malaysia tahun 1971. Melalui sesi temu bual ini, pelbagai kisah menarik dan nilai kepimpinan Pak Rashid berjaya dirakam bagi tujuan pendokumentasian rasmi.

Projek ini bertujuan menerbitkan sebuah dokumentasi komprehensif yang menelusuri perjalanan hidup serta jasa besar Pak Rashid terhadap perkembangan institusi, sejak era Sekolah Pertanian, Kolej Pertanian Malaya, Universiti Pertanian Malaysia, sehinggalah ke Universiti Putra Malaysia pada hari ini.

Pak Rashid dikenang sebagai seorang pendidik dan tokoh berwawasan yang banyak mencurahkan ilmu serta membentuk peribadi pelajar dengan penuh dedikasi. Legasi beliau terus terpahat dalam sejarah universiti dan menjadi sumber inspirasi kepada warga kampus serta alumni dari pelbagai generasi.
ARCUPM berharap usaha ini dapat memperkukuh apresiasi terhadap jasa beliau serta memastikan kisah perjuangan tokoh bersejarah ini terus hidup dalam ingatan warga universiti dan masyarakat pada masa hadapan.
Tarikh Input: 23/10/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor