Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 6 November – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah mengadakan satu sesi temu bual eksklusif bersama Dato’ Dr. Haji Idris Abdol, Alumni UPM Kelas 1970 yang juga mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (2000–2003), serta isteri beliau Datin Hajah Siti Hasidah Naim, Alumni UPM Kelas 1974.

Sesi ini merupakan sebahagian daripada dokumentasi Jejak Sejarah Lisan Pak Rashid, tokoh pendidik yang memainkan peranan penting dalam membentuk generasi awal pelajar Kolej Pertanian Malaya (KPM), kini Universiti Putra Malaysia.
Dalam perkongsian yang penuh nilai sejarah itu, Dato’ Dr. Haji Idris menggambarkan Allahyarham Pak Rashid sebagai seorang pendidik yang tegas, berdisiplin tinggi serta memiliki semangat patriotisme yang mendalam. Menurut beliau, antara hasrat utama Pak Rashid ketika itu ialah memastikan pelajar Melayu mendapat peluang pendidikan yang lebih luas agar mereka mampu maju, berdikari dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Beliau turut berkongsi bahawa Pak Rashid sering menasihati anak didiknya supaya tidak berputus asa, sentiasa menyimpan tekad untuk berjaya, dan berusaha meningkatkan potensi diri dari semasa ke semasa. Ketegasan Allahyarham bukan bertujuan memarahi, tetapi untuk memupuk nilai disiplin, hormat, rajin, beradab dan berintegriti – nilai asas yang membentuk peribadi unggul seorang pelajar.
Dato’ Dr. Haji Idris menegaskan bahawa apabila nilai-nilai murni ini diterapkan sepenuhnya dalam diri seseorang, kejayaan pasti akan menyusul dengan cara yang terhormat dan bermaruah. Inilah warisan pendidikan Pak Rashid yang terus menjadi pedoman kepada generasi UPM dari dahulu hingga kini.
Tarikh Input: 24/11/2025 | Kemaskini: 24/11/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor