Proses Pengumpulan Data Bagi Penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Proses Pengumpulan Data Bagi Penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid

Proses Pengumpulan Data Bagi Penerbitan Sejarah Lisan Pak Rashid

Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Wil

Shah Alam, 23 Oktober - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menemubual Tuan Haji Mohamed Ismail, alumni UPM tahun 1967, bagi merakamkan pengalaman beliau bersama Allahyarham Pak Rashid, tokoh pendidik yang banyak berjasa dalam membentuk generasi awal pelajar Kolej Pertanian Malaya (KPM).

Dalam sesi temu bual tersebut, Tuan Haji Mohamed berkongsi beberapa pesanan berharga yang pernah diterima daripada Allahyarham Pak Rashid semasa zaman pengajiannya. Antara yang masih segar di ingatan beliau ialah nasihat supaya sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan sama ada dari segi ilmu pengetahuan, ketahanan diri, penampilan mahupun cara bertindak dalam menghadapi sesuatu situasi.

Menurut beliau, Pak Rashid turut menekankan bahawa disiplin merupakan asas kepada setiap kejayaan kerana ia mencerminkan tahap persediaan seseorang terhadap cabaran masa hadapan. Beliau juga mengingatkan bahawa perbuatan berjalan laju melambangkan semangat, daya saing dan matlamat hidup yang jelas.

Tuan Haji Mohamed turut menitipkan pesanan kepada para pendidik UPM agar sentiasa bersama pelajar dalam proses pencurahan ilmu. Katanya, keberkesanan pendidikan bukan hanya datang daripada kata-kata, tetapi turut terpancar melalui akhlak, teladan dan sahsiah diri seorang guru sebagaimana yang ditunjukkan oleh Allahyarham Pak Rashid dalam mendidik anak muridnya bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membimbing tentang erti kehidupan sebenar.

Kesimpulannya, perkongsian ini menjadi satu rakaman penting dalam usaha menelusuri warisan kepimpinan pendidikan Allahyarham Pak Rashid yang terus meninggalkan legasi nilai dan prinsip luhur buat generasi UPM hari ini.

Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (06:49:35am-06:54:35am, 19 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]