Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 21 Oktober – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) berbesar hati menjalankan sesi temu bual bersama Haji Ghazali Selamat, alumni UPM tahun 1970, yang juga merupakan salah seorang anak didik kepada tokoh pendidik tersohor, Allahyarham Pak Rashid.

Sesi yang berlangsung dalam suasana penuh nostalgia ini memberi ruang untuk mengenang kembali jasa dan sumbangan besar Pak Rashid terhadap pembangunan sahsiah pelajar serta pendidikan di Universiti Putra Malaysia.
Dalam perkongsian tersebut, Haji Ghazali menekankan betapa pentingnya nilai keperibadian dan adab terhadap guru, kerana keberkatan ilmu datang daripada keberkatan seorang pendidik. Menurutnya, pesanan itu menjadi asas pembentukan insan berilmu dan berbakti — prinsip yang sentiasa diterapkan oleh Pak Rashid dalam mendidik anak muridnya.

Menariknya, beliau turut menyuarakan hasrat untuk menerbitkan sebuah buku khas mengenai keperibadian dan nilai kemanusiaan Pak Rashid, sebagai wadah untuk memperkenalkan sosok tokoh ini kepada generasi baharu warga UPM. Usaha tersebut diharap dapat mengekalkan legasi Pak Rashid serta menginspirasikan staf dan pelajar agar terus mencontohi nilai positif, keikhlasan dan semangat perjuangan beliau.

Sesi ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi juga menjadi satu langkah penting dalam menghidupkan semula semangat “Berilmu Berbakti” yang menjadi teras kepada pembentukan identiti warga UPM sejak dahulu hingga kini.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor