Program Semarak Ramadan Gotong-Royong Bubur Lambuk | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Program Semarak Ramadan Gotong-Royong Bubur Lambuk

Program Semarak Ramadan Gotong-Royong Bubur Lambuk

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

Disunting oleh: Suziana Che Wil

SERDANG, 11 Mac 2026 – Program Semarak Ramadan Gotong-Royong Bubur Lambuk telah berjaya diadakan di Aras Bawah Bangunan, Pejabat TNCPI (parkir belakang) dengan kerjasama serta tajaan bersama Kelab Sukan & Kebajikan (KSK) Pejabat TNCPI, Pusat Jaminan Kualiti Putra Business School, Pusat Perhubungan Alumni UPM dan Persatuan Alumni UPM. Program ini dianjurkan bagi menyemarakkan semangat Ramadan melalui penglibatan komuniti dan aktiviti kesukarelawanan, di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan kakitangan daripada pelbagai jabatan. Ia juga bertujuan menggalakkan semangat kerja berpasukan serta memupuk tradisi gotong-royong dalam komuniti universiti.

Program ini bermula pada jam 9.00 pagi dengan kehadiran kakitangan di lokasi yang telah ditetapkan bagi menyediakan bahan-bahan masakan serta mengagihkan tugasan. Para peserta bekerjasama dalam melaksanakan persiapan, di mana sebahagian bertanggungjawab menyediakan bahan mentah manakala yang lain menguruskan penyediaan peralatan dan kelengkapan memasak.

Sepanjang program berlangsung, kakitangan dari setiap pusat mengambil giliran untuk memasak dan mengacau bubur lambuk di bawah bimbingan seorang ketua tukang masak yang menyelia keseluruhan proses sambil berinteraksi dengan para peserta bagi memastikan hidangan disediakan dengan sempurna.

Usaha bersama dalam penyediaan bubur lambuk ini secara tidak langsung membuka ruang untuk mengeratkan hubungan antara jabatan. Kakitangan daripada pelbagai pusat berganding bahu, bermula daripada penyediaan bahan, proses memasak sehinggalah kepada pembungkusan, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan kesatuan yang tinggi. Setelah siap, bubur lambuk dibungkus dengan teliti sebelum diagihkan kepada kakitangan serta pengunjung di sekitar kampus sebagai tanda perkongsian dan penghargaan sempena bulan Ramadan.

Secara keseluruhannya, Program Semarak Ramadan Gotong-Royong Bubur Lambuk ini menjadi satu momen yang bermakna dan berkesan kepada semua pihak yang terlibat. Walaupun dianjurkan dengan konsep yang sederhana, program ini berjaya menyemarakkan semangat Ramadan serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan peserta, sekali gus menjadikannya satu kejayaan.


Tarikh Input: 30/03/2026 | Kemaskini: 30/03/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (12:00:56pm-12:05:56pm, 22 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]