PROGRAM SAMBUTAN AMBANG MERDEKA KALI KE-66 PERINGKAT UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA: PATRIOTISME@PUTRA | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » PROGRAM SAMBUTAN AMBANG MERDEKA KALI KE-66 PERINGKAT UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA: PATRIOTISME@PUTRA

PROGRAM SAMBUTAN AMBANG MERDEKA KALI KE-66 PERINGKAT UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA: PATRIOTISME@PUTRA

Oleh: Suhadatul Fatonah Jusip@Jusop 

Suntingan: Suziana Che Wil 

SERDANG, 30 Ogos – Program Sambutan Ambang Merdeka Kali ke-66 Peringkat Universiti Putra Malaysia: Patriotisme@Putra telah diadakan untuk menyambut ambang merdeka kali ke-66. Program yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM dan disambut meriah oleh warga UPM.

 

Program dimulakan sekitar pukul 9 malam dengan persembahan daripada Band Putra dan Finalis Senada Putra sementara menunggu ketibaan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM. Program kemudian diteruskan dengan persembahan pembukaan daripada Koir Gabungan PTJ Semarak Merdeka yang menyanyikan lagu Cintai Malaysia. Turut diadakan juga penyampaian hadiah pertandingan Program Semarak Merdeka UPM 2023 dan perarakan membawa jalur gemilang oleh Bahagian Keselamatan Universiti.

 

Pada pukul 11.59 malam, kiraan detik sebelum tengah malam dimulakan. Sebaik sahaja kiraan tamat, laungan Merdeka! oleh Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman menandakan genaplah 66 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan.

 

Program diteruskan lagi dengan upacara menaikkan jalur gemilang dan nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa kesejahteraan Malaysia dan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh YDP MPP.

 

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dipilih pada tahun ini adalah Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada Mei lalu. Semangat patriotisme dan perpaduan yang ditunjukkan oleh warga UPM pada program kali ini adalah refleksi yang baik kepada tema kemerdekaan tahun ini. Semoga semangat ini tidak akan pudar walaupun negara kita kini menghampiri angka 70 tahun kemerdekaan.

Program ditutup dengan nyanyian lagu-lagu patriotik Malaysia dan berakhir sekitar pukul 12.30 malam.

Tarikh Input: 04/09/2023 | Kemaskini: 27/09/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEdCA5~