Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 17 Disember - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Program PUTRASihat 10,000 Langkah UPM Siri 4.0 2025, sekali gus menutup tirai penganjuran siri program berkenaan bagi tahun 2025 dengan penuh meriah dan bertenaga.

Program yang melibatkan laluan off-road ini bermula dan berakhir di Stadium UPM, dengan empat checkpoint utama iaitu Fakulti Pertanian, Tasik UPM, Ladang Rusa, dan Farm Fresh UPM. Program ini terbuka kepada peserta berumur 12 tahun ke atas dan disertai oleh warga UPM merangkumi staf dan pelajar, selain turut mendapat penyertaan daripada orang awam.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Yang Bhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berimpak tinggi ini serta menekankan kepentingan gaya hidup sihat sebagai asas kesejahteraan komuniti universiti.


Suasana program turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh Fit By Beat dari Pusat Kesihatan Universiti UPM, yang berjaya menarik penyertaan aktif peserta dan menyuntik semangat kecergasan dalam kalangan hadirin. Program PUTRASihat 10,000 Langkah UPM Siri 4.0 merupakan siri keempat dan siri terakhir bagi tahun 2025. Sebelum ini, siri pertama telah dianjurkan pada 28 Februari 2025 di Foyer Dewan Besar, PKKSSAAS, UPM, diikuti Siri Ke-2 di Astaka Seni UPM pada 20 Jun 2025, dan Siri Ke-3 di Padang Kawad UPM pada 11 Oktober 2025.


Turut hadir ialah En. Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia, bersama pasukan Pusat Perhubungan Alumni UPM. Kehadiran ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh jalinan kebersamaan antara warga kampus dan alumni.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, khususnya berjalan kaki. Ia bukan sahaja menggalakkan warga UPM untuk lebih aktif, malah turut memupuk semangat kebersamaan, kesihatan holistik dan keharmonian dalam komuniti universiti serta masyarakat setempat.
Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 19/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor