GERIK, 9 Ogos 2026 – Kelab Huffaz Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama MyFundAction, Kelab Yosh Universiti Malaysia Pahang (UMP), Surau Al Mizan Putrajaya dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM telah berjaya melaksanakan Program Putra Outreach: Huffaz Social Engagement 2026 di Tasik Banding, Gerik, Perak pada 7 hingga 9 Ogos 2026.
Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam memperluaskan penglibatan mahasiswa melalui aktiviti khidmat komuniti di samping memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta.
Berteraskan konsep pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), program ini menghimpunkan penyertaan mahasiswa daripada UPM, Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta beberapa institusi pengajian tinggi lain untuk mendekati dan memahami realiti kehidupan komuniti Orang Asli di sekitar Tasik Banding.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat serta menghayati cabaran kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli. Pengalaman ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran sosial, empati dan tanggungjawab mahasiswa terhadap masyarakat.
Melalui sinergi antara institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat, program ini bukan sahaja menyokong agenda Service Learning dan pembangunan graduan holistik, malah turut menyumbang kepada usaha meningkatkan kualiti hidup komuniti Orang Asli di kawasan Tasik Banding.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, di samping menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para mahasiswa.
Program Putra Outreach: Huffaz Social Engagement 2026 membuktikan bahawa mahasiswa mampu memainkan peranan penting sebagai agen perubahan dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan sosial negara.
Tarikh Input: 27/08/2026 | Kemaskini: 27/08/2026 | ahmadamirul

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor