Program Mobiliti Pelajar UPM : Kembara Dunia Yogyakarta | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Program Mobiliti Pelajar UPM : Kembara Dunia Yogyakarta

Program Mobiliti Pelajar UPM : Kembara Dunia Yogyakarta

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – Pelajar di bawah Chapter Student Ambassador Universiti Putra Malaysia (CSA) seramai 10 orang dari Fakulti Ekologi Manusia dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM telah mengadakan program mobiliti ke Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta selama 14 hari yang bermula 2 hingga 16 Oktober 2022 yang lalu. Kunjungan pelajar ini ke sana sebagai salah satu program percambahan dan pertukaran ilmu di antara dua universiti ini selain mengeratkan hubungan dua hala antara institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Program yang julung kali diadakan ini adalah untuk melatih, mengajar dan mendedahkan para pelajar dengan kebudayaan, sejarah, kehidupan komuniti dan seterusnya bertukar idea dan kepakaran dalam bidang masing-masing terutamanya bidang pertanian, pemakanan dan sealiran dengannya. Program ini juga dilihat dapat memberi manfaat kepada para pelajar dengan pendedahan kepada persekitran baharu yang luar dari luang lingkup kebiasaan mereka dan juga menyumbang kepada keterlihatan universiti di luar negara.

Pusat Perhubungan Alumni UPM  (ARCUPM) selaku entiti pemantau kepada program ini juga melihat satu manfaat yang besar dapat dibawa pulang oleh para pelajar bukan sahaja ke atas keterlihatan UPM tetapi juga dapat mengeratkan hubungan sesama alumni UPM yang ada di UGM. Di Universitas Gadjah Mada juga mempunyai alumni UPM yang pastinya hubungan ini akan terus terjalin bukan sahaja sebagai alumni dan alma mater tetapi juga kesinambungan hubungan dua hala dalam melonjakkan bidang pertanian di antara dua negara terus ke hadapan.

 

Bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Program Mobiliti Pelajar UPM, Kembara Dunia Yogyakarta ini adalah pemangkin kepada program mobiliti yang lain. Keberhasilan dan kejayaan Program Mobiliti Pelajar UPM : Kembara Yogyakarta akan memberi impak dan justifikasi kepada program mobiliti yang lain yang akan turut memberi pendedahan kepada pelajar seterusnya.  

“Ini adalah usaha kita menghayati Seruan Al-Falah yang disuarakan oleh Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman iaitu mahu mendedahkan pelajar-pelajar UPM dengan aktiviti antarabangsa dan memberi mereka pendedahan yang lebih meluas mengenai peluang dan ruang yang boleh diterokai. Menjadi tanggungjawab entiti Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) untuk melibat sama alumni dalam setiap program yang dijalankan dalam usaha membawa alumni kembali menyumbang kepada universiti dalam kerangka mendokong visi universiti iaitu menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa. Ini juga selari dengan Naratif Naib Canselor 2022, aspirasi ke-11 iaitu melibat sama alumni untuk kelangsungan universiti, maka program mobiliti pelajar ini juga menggunakan sumbangan pendanaan daripada para alumni UPM disamping usaha pelajar yang terlibat mengumpul dana mereka sendiri untuk melancarkan lagi proses kembara ilmu mereka ini dengan aktiviti buggy@alumni dengan aktiviti keusahawanan bersempena Majlis Konvokesyen UPM kali ke-44 dan 45. Kembara ilmu yang dijalankan ini bukan sahaja memberi pendedahan ilmu kepada pelajar yang terlibat tetapi juga memperlihatkan komitmen universiti dan alumni dalam sama-sama mendedahkan pelajar dengan ketamadunan ilmu di luar negara khususnya di peringkat antarabangsa.” Ujar beliau.

Bagi Nurul Izzah Izreen Zulhazmi, pelajar tahun akhir, Becelor Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan dari Fakulti Ekologi Manusia, menyifatkan program mobiliti ini sangat bermanfaat khas untuk dirinya dalam menimba ilmu dan pengalaman pembelajaran di negara orang.

“Program ini secara langsung mendedahkan kami mengenai cara untuk membangunkan hubungan dua hala sehingga kami berjaya ke sana. Menerusi program ini juga mengajar kami untuk membuat pengumpulan dana sendiri dengan melakukan aktiviti-aktiviti keusahawanan sepanjang pesta konvokesyen UPM. Ini mengajar kami untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha dan tidak hanya mengharapkan universiti semata-mata. Kami selaku pelajar yang inginkan ilmu itu juga perlu memainkan peranan sendiri, bukan hanya mengharapkan institusi semata-mata. Harapan kami agar program mobiliti sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang untuk terus memberi pendedahan kepada pelajar yang seterusnya. Walaupun bukan di UGM, mungkin di tempat lain yang difikirkan sesuai dengan keadaan dan situasi semasa,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sepanjang 10 hari di UGM pelbagai aktiviti di makmal, pembentangan kertas kerja dan juga lawatan komuniti dilakukan. Secara tidak langsung pendedahan kepada budaya masyarakat di sana dapat dipelajari dan dapat menimba ilmu baharu yang dibawa pulang ke UPM.

 

Tarikh Input: 31/10/2022 | Kemaskini: 23/12/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEYBAs~