PROGRAM MEET & GREET 3.0 | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » PROGRAM MEET & GREET 3.0

PROGRAM MEET & GREET 3.0

Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting oleh:  Suziana Che Wil 

Serdang, 21 Januari 2026 – Majlis Meet & Greet 3.0 telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) bertempat di Pejabat Persatuan Alumni UPM, Aras Bawah Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia. Program ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara alumni, rakan strategik serta penyumbang biasiswa bagi menyokong kebajikan dan kecemerlangan pelajar UPM.

Program ini menghimpunkan alumni daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman, inspirasi serta komitmen berterusan mereka terhadap pembangunan pelajar dan universiti. Penganjuran Meet & Greet 3.0 mencerminkan peranan aktif Persatuan Alumni UPM dalam memupuk jaringan kerjasama yang berimpak dan lestari dalam kalangan komuniti alumni.

Menariknya, Meet & Greet 3.0 turut diserikan dengan sesi podcast bersama para penyumbang biasiswa, termasuk wakil daripada Cyperus 92’ dan Pewaris Gemilang, yang berfungsi sebagai medium perkongsian pengalaman serta inspirasi secara lebih dekat dan interaktif. Sesi ini memberi peluang kepada para penyumbang untuk berkongsi motivasi, nilai keprihatinan serta peranan alumni dalam menyumbang kembali kepada pembangunan pelajar dan universiti.

Antara penyumbang yang terlibat ialah wakil Cyperus 92’, iaitu Puan Suhana Md Chairi, alumni UPM tahun 1992 dan 1996, yang telah menyumbangkan dana berjumlah RM14,000 kepada Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia. Perkongsian beliau menerusi sesi podcast memberikan gambaran bermakna mengenai kepentingan sokongan alumni terhadap kebajikan pelajar.

Selain itu, sesi podcast dan program ini turut menampilkan penyumbang daripada inisiatif Pewaris Gemilang yang diwakili oleh Encik Zainol Abidin Ahmad, alumni UPM Kelas 2004 dan 2010, yang telah menyumbangkan dana berjumlah RM120,000 kepada Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia. Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan alumni dalam memastikan peluang pendidikan pelajar UPM terus diperkasa.

Secara keseluruhannya, penganjuran Meet & Greet 3.0 bukan sahaja mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti, malah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kebajikan dan kolaborasi strategik pada masa hadapan. Sokongan berterusan daripada alumni dan rakan strategik diharapkan dapat terus memperkukuh ekosistem pembangunan pelajar Universiti Putra Malaysia secara menyeluruh.

Tarikh Input: 23/01/2026 | Kemaskini: 23/01/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (11:24:12pm-11:29:12pm, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]