Oleh: Ahmad Amirul
Serdang, 11 Februari 2026 – Majlis Penyerahan Sumbangan Dapur Madani bagi Bulan Ramadhan 1447H telah berlangsung dengan jayanya, dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Chapter Yosh, dengan kerjasama MyFundAction. Program ini bertujuan membantu pelajar UPM yang memerlukan serta meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan.

Persatuan Alumni UPM telah menyumbang sebanyak RM7,500, dengan RM6,000 diperuntukkan bagi pembelian barangan daripada Syarikat Faiza, yang kini diterajui oleh anak pengasasnya yang juga seorang Alumni UPM. Baki RM1,500 digunakan untuk pembelian telur daripada Fakulti Pertanian UPM. Sementara itu, Chapter Yosh turut memberi sokongan melalui sumbangan berbentuk in-kind berupa makanan Ready-To-Eat (RTE) dan makanan kering bernilai RM7,000, bagi memastikan bantuan yang disalurkan lebih menyeluruh dan mencukupi untuk keperluan pelajar.

Kesemua sumbangan ini telah diserahkan kepada tiga kolej kediaman UPM iaitu Kolej Canselor (KC), Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), dan Kolej Pendeta Za’ba (KPZ). Majlis penyerahan disertai oleh wakil-wakil kolej, termasuk Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff (Pengetua KC), Pn. Siti Noriza Samad (Wakil KTAG), dan Cik Nur Adilah Zahidin (Wakil KPZ). Turut hadir memeriahkan majlis adalah Presiden Persatuan Alumni UPM, En. Mohd Norashedy Ab Rashid, serta Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, En. Fahmi Azar Mistar.

Program ini bukan sahaja memberi bantuan daripada segi makanan, tetapi juga menjadi bukti bahawa Alumni UPM sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar dan komited dalam menyokong komuniti universiti. Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan keperluan harian pelajar, meningkatkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus, serta memperkukuh hubungan antara alumni dan pelajar.
Dengan adanya sokongan berterusan daripada alumni dan rakan strategik seperti Chapter Yosh, Dapur Madani terus menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kepedulian, solidariti, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.

Tarikh Input: 13/02/2026 | Kemaskini: 13/02/2026 | ahmadamirul

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor