Perlawanan Bola Sepak Alumni Serdang Bees 2021 Tanda Kebersamaan Alumni Dan Alma Mater | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Perlawanan Bola Sepak Alumni Serdang Bees 2021 Tanda Kebersamaan Alumni dan Alma Mater

Perlawanan Bola Sepak Alumni Serdang Bees 2021 Tanda Kebersamaan Alumni dan Alma Mater

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

17 Disember 2021, Perlawanan Bola Sepak Alumni Serdang Bees telah berlangsung di Stadium Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM). Perlawanan ini diadakan bersempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). 

Perlawanan ini membabitkan pasukan Serdang Bees A, Serdang Bees B  dan juga Pasukan Pilihan Naib Canselor. Sepak mula dimulakan tepat jam 8.20 malam disambut meriah oleh penonton yang rata-rata merupakan alumni UPM, masing-masing cuba menggamit memori ketika bergelar pelajar sewaktu ketika dahulu. 

Tetamu kehormat yang turut hadir pada malam itu ialah Pendaftar UPM, Encik Muhazam Mansor, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah, Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, Pengurus, Persatuan Alumni UPM, Tuan Haji Wan Ali Wan Ab Rahman, staf Pusat Perhubungan Alumni UPM, alumni dan pelajar UPM. 

Menurut Encik Muhazam selaku perasmi program pada malam itu berkata, acara sukan adalah salah satu acara ataupun program yang boleh merapatkan ukhuwah. Perlawanan Bola Sepak Serdang Bees ini dilihat satu program yang baik dalam merapatkan hubungan antara alumni dan alma mater. 

“Malam ini ramai alumni yang hadir. Bukan sahaja hadir sebagai penonton, malahan alumni turut turun sebagai pemain. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan ini menguatkan lagi slogan yang menjadi azimat kita semua iaitu ‘Kami Bangga Menjadi Alumni UPM’. 

Pada saya program sebegini harus diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha kita mengukuhkan lagi hubungan antara alumni dan alma mater, supaya agenda pembangunan kecemerlangan universiti sentiasa berterusan. 

Syabas dan tahniah kepada penganjur program iaitu Pusat Perhubungan Alumni UPM kerana berjaya mengumpulkan alumni yang sememangnya boleh dikatakan otai dalam sukan dan bola sepak untuk turun bermain pada malam ini,” ujarnya. 

Bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud pula, alumni dan alma mater berpisah tiada. Meskipun sudah lama meninggalkan alam kampus namun kembali berbakti kepada universiti amatlah dialu-alukan. 

“Kami melihat sukan antara laluan berkesan untuk mengajak alumni kembali kepada alma mater. Perlawanan Bola Sepak Alumni Serdang Bees ini julung kali diadakan dan mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada semua alumni. 

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh alumni yang hadir secara fizikal mahupun yang menonton secara dalam talian di facebook live Pusat Perhubungan Alumni. Di mana sahaja kita berada bersama kita mencitra alumni,” akhirinya.

Diharapkan menerusi pelbagai program yang dianjurkan bersama alumni dan juga kemudaha Sistem Maklumat Alumni (AIS) yang telah dilancarkan dapat membantu alumni untuk terus berhubung dengan alma mater dan seterusnya sama-sama memberi khidmat bakti untuk kecemerlangan university dan warganya. 

Bagi alumni yang ingin mengemaskini maklumat diri boleh terus ke pautan; https://ais.upm.edu.my/portal/

Tarikh Input: 13/01/2022 | Kemaskini: 26/01/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaDAy~