PERASMIAN PEMBUKAAN PESTA KONVOKESYEN DAN ESKPO PERTANIAN 2025 | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » PERASMIAN PEMBUKAAN PESTA KONVOKESYEN DAN ESKPO PERTANIAN 2025

PERASMIAN PEMBUKAAN PESTA KONVOKESYEN DAN ESKPO PERTANIAN 2025

Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Will 

Serdang, 28 November – Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian 2025 (PESKON 2025) membuka tirainya dengan penuh meriah melalui majlis perasmian yang disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. Majlis berprestij itu berlangsung di tapak rasmi PESKON 2025 yang terletak di Dataran Menara Putra Warisan Budi, lokasi baharu yang menjadi simbolik kepada penganjuran edisi kali ini.

Perasmian tersebut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Kelab Gendang 24 Musim di bawah Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), UPM. Persembahan penuh tenaga itu menyerlahkan keunikan budaya kampus sambil mengalu-alukan kedatangan para pengunjung dan warga universiti ke pesta tahunan tersebut.

PESKON 2025 membawa makna istimewa kerana ia merupakan penganjuran pertama di Dataran Menara Putra Warisan Budi selepas menara ikonik itu siap sepenuhnya pada tahun ini. Lokasi baharu ini bukan sahaja memperindah suasana pesta, malah menjadi simbol kepulangan alumni ke kampus hijau UPM bersempena Majlis Konvokesyen Ke-49.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar; Presiden Persatuan Alumni UPM, Encik Norashedy Ab Rashid; serta para pegawai, staf dan mahasiswa UPM yang hadir memeriahkan lagi suasana.

PESKON 2025 yang berlangsung dari 28 November hingga 5 Disember 2025 menawarkan pelbagai aktiviti, pameran dan jualan menarik yang dijangka menambahkan kemeriahan sambutan konvokesyen pada tahun ini. Dalam ucapan perasmiannya, Naib Canselor merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM selaku pengurus utama penganjuran, di samping menyampaikan ucapan terima kasih kepada rakan strategik universiti serta para penaja yang telah memastikan kelancaran program tersebut.

Gimik perasmian turut mencuri perhatian apabila YBhg. Naib Canselor bersama tetamu kehormat melaksanakan acara simbolik penanaman pokok, sebagai tanda penghargaan terhadap kelestarian dan kehijauan kampus UPM.

Penganjuran PESKON 2025 turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai penaja, termasuk Pusat Perhubungan Alumni UPM yang memainkan peranan penting dari segi sumbangan kewangan dan penyelarasan. Kerjasama tersebut turut menggalakkan penyertaan ramai alumni, khususnya ibu bapa graduan, untuk hadir memeriahkan sambutan konvokesyen tahun ini.

Tarikh Input: 18/12/2025 | Kemaskini: 18/12/2025 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (12:57:16pm-01:02:16pm, 12 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]