Serdang, 30 November — Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 yang diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyaksikan 3 orang graduan menerima anugerah universiti. Sharifah Hani Zafirah Alsagoff binti Syed Omar, Bioperubatan dengan Kepujian dari Fakulti Perubatan dan Sain Kesihatan UPM, diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Yayasan Pak Rashid. Graduan Bacelor Sains Biologi dengan Pendidikan (Kepujian), Fakulti Sains UPM, Umar Haikal bin Othman pula muncul sebagai penerima Anugerah Endowmen Sultan Idris Shah manakala Muhammad Alfaris bin Yulfendi, graduan Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian dari Fakulti Pertanian UPM, dinobatkan sebagai penerima Hadiah Sekuriti Makanan Farm Fresh.
Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tuanku Canselor UPM, di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pingat emas bernilai RM2,000.00, hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00 serta sijil pencapaian diterima oleh Sharifah Hani dan tajaan penuh oleh Yayasan Pak Rashid. Saudara Umar Haikal menerima hadiah wang tunai RM5,000.00 dan sijil pencapaian yang ditaja oleh Tabung Endowmen Sultan Idris Shah manakala saudara Alfaris menerima hadiah wang tunai RM5,000.00 dan sijil pencapaian, ditaja oleh Farm Fresh Sdn. Bhd.
Sharifah Hani meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan mengucapkan terima kasih kepada UPM atas penghargaan yang diberikan. “Ini adalah detik yang sangat bermakna bagi saya, hasil kerja keras dan sokongan yang tidak putus-putus sepanjang pengajian saya di sini,” ujarnya dengan penuh rasa terharu. Sambil melahirkan rasa syukur, Umar Haikal mengulas kejayaannya dengan berterima kasih kepada UPM yang telah memberikan anugerah itu di hari yang paling bermakna setelah menamatkan pengajiannya.
Alfaris, yang kelihatan terharu, menyatakan rasa syukur atas penghormatan yang diterima dan berterima kasih kepada UPM atas peluang serta sokongan sepanjang tempoh pengajiannya. “Pengiktirafan ini sangat bermakna dan menjadi penutup yang indah bagi perjalanan akademik saya,” katanya dengan penuh penghargaan.
Tarikh Input: 30/12/2024 | Kemaskini: 30/12/2024 | anishannani
Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor