“Pemegang Biasiswa Perlu Tahu Tanggungjawab Dan Peranan” – Adlin | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » “Pemegang Biasiswa Perlu Tahu Tanggungjawab dan Peranan” – Adlin

“Pemegang Biasiswa Perlu Tahu Tanggungjawab dan Peranan” – Adlin

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

SERDANG, 11 Januari 2022 – Majlis Konvokesyen UPM Kali Ke-44 telah menyaksikan wajah-wajah gembira para graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing. Setelah hampir dua tahun majlis konvokesyen tidak diadakan akibat pandemik Covid-19, alhamdulillah pada tahun 2022 dengan SOP yang ketat majlis dapat dijalankan dan berjalan lancar. 

Biarpun kemeriahan tidak seperti dahulu, tetapi cukup istimewa kerana dapat meraikan kegembiraan graduan yang selamanya berjuang untuk menamatkan pengajian masing-masing. 

Bagi Nur Adlin Norazam, graduan Diploma Perikanan dan merupakan penerima Biasiswa Alumni Amco Niaga Sdn Bhd, dia amat berterima kasih kepada Amco Niaga yang menaja pengajiannya selama empat tahun UPM. 

“Saya bukan daripada keluarga senang. Saya anak kedua daripada empat orang adik beradik. Adik-adik masih bersekolah. Jadi apabila saya diterima untuk menjadi salah seorang penerima biasiswa Alumni Amco Niaga ini, banyak memberi kelegaan buat saya dan juga keluarga. 

Penanggung utama keluarga hanya ibu seorang sahaja. Ibu menjalankan perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan sahaja. Jadi apabila diberikan biasiswa ini saya nampak masa depan saya semakin cerah. Saya dan ibu tidak perlu risau mengenai yuran pengajian dan juga perbelanjaan saya sepanjang di kampus. Ibu boleh memberi tumpuan kepada keperluan adik-adik yang masih bersekolah. 

Nasihat saya kepada semua penerima biasiswa alumni tidak kiralah daripada siapa, sebagai pelajar kita perlu tahu tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Ramai yang mohon tetapi kita salah seorang yang berjaya, jadi menjaga nama baik penaja itu adalah tanggungjawab kita. Apa yang perlu dilakukan ialah belajar bersungguh-sungguh hingga kita berjaya, dan insya-Allah suatu hari nanti kami graduan hari ini pula akan kembali menyumbang kepada alma mater. Usaha murni dalam mencitrakan alumni UPM itu tidak akan terhenti di sini sahaja,” akhirinya. 

Adlin kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Bacelor Sains Pembangunan Manusia di UPM Serdang. 

Pusat Perhubungan Alumni mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada saudari Nur Adlin Norazam. 

Tarikh Input: 25/01/2022 | Kemaskini: 26/01/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZMAq~