Pembinaan Menara Jam Tanda Kesepakatan Antara Alumni Dan Universiti | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Pembinaan Menara Jam Tanda Kesepakatan Antara Alumni dan Universiti

Pembinaan Menara Jam Tanda Kesepakatan Antara Alumni dan Universiti

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

 

SERDANG - Bertempat di Hotel Nikko, pada tahun 2006, bersempena Majlis Sambutan Ulang tahun ke-75 Universiti Putra Malaysia (UPM), satu pelancaran dana bagi tujuan pembinaan Menara Jam Warisan Budi Putra telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Canselor UPM. 

Objektif utama pembinaan menara jam ini adalah bagi menghargai setiap sumbangan yang diberikan oleh alumni, komuniti kampus, sahabat-sahabat UPM kepada UPM. Disamping itu, pembinaan menara jam ini juga adalah simbolik kepada cerminan bahawasanya masa itu emas dan kepentingan menghargai masa demi sebuah kejayaan. 

Menara Jam Warisan Budi ini juga menunjukkan satu mercu tanda baharu UPM yang mewakili seluruh warga kampus selama ini telah bersatu hati, bekerjasama dan bersepakat dalam membawa hala tuju Universiti dalam membina nama yang gah bukan sahaja dalam negara malahan ke peringkat antarabangsa. 

Meskipun pembinaannya berkali-kali tertangguh disebabkan oleh kekangan kewangan, namun dibawah seliaan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Pusat Perhubungan Alumni UPM, Menara Jam Warisan Budi berjaya direalisasikan pembinaannya dengan kutipan dana mencecah RM1.4 juta. Menjelang Januari 2023, pembinaan Menara Jam Warisan Budi akan dimulakan dan dijangka siap pada Jun 2023. 

Dengan terbinanya menara jam ini ianya bukan sahaja akan menjadi mercu tanda baharu UPM tetapi juga bakal menjadi 'one stop centre' untuk para pelajar berkumpul. Terutamanya pada majlis konvokesyen yang mana ianya bakal menjadi tempat yang ikonik untuk para pelajar dan graduan mengabadikan gambar kenang-kenangan. 

Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh komuniti kampus dan alumni UPM yang telah bersama-sama merealisasikan pembinaan mercu tanda baharu ini. Kesepakatan dan kebersamaan yang ditunjukkan ini menjadi intipati kepada kejayaan UPM pada masa hadapan. 

Tarikh Input: 30/11/2022 | Kemaskini: 09/01/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZOAY~