Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting Oleh: Suziana Che Wil
London, 2 Februari 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan alumni di peringkat global menerusi pelancaran Chapter Alumni UPM Antarabangsa@United Kingdom, yang telah berlangsung di Education Malaysia London.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, bersama Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Hanafi Ahmad Damanhuri, Pengarah Education Malaysia London. Inisiatif ini menandakan satu langkah strategik UPM dalam memperluas penglibatan alumni di peringkat antarabangsa serta memperkukuh kolaborasi global yang berimpak tinggi.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Iqbal Ismat Nordin, Education Attaché, Education Malaysia London yang juga Alumni UPM Kelas 2013 Encik Hasrul Husni, Education Attaché,Education Malaysia London, Yang Berusaha Dr. Muhammad Muaz Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Shahrudin Sahrani, Pegawai Khas kepada Naib Canselor UPM, serta Puan Nur Sahira Faghira Tahrir Adli, Pegawai Eksekutif Pusat Perhubungan Alumni UPM.



Pelancaran Chapter Alumni UPM Antarabangsa@UK ini berperanan sebagai platform rasmi bagi menghimpunkan alumni UPM yang menetap dan berkhidmat di United Kingdom, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara alumni, universiti dan agensi pendidikan Malaysia di luar negara. Chapter ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan jaringan profesional, perkongsian kepakaran, sokongan akademik serta promosi UPM di peringkat antarabangsa.
Secara keseluruhannya, penubuhan Chapter Alumni UPM Antarabangsa@United Kingdom mencerminkan komitmen berterusan Universiti Putra Malaysia dalam memperkasa peranan alumni sebagai duta global universiti, selari dengan aspirasi UPM untuk terus memperluas pengaruh dan reputasinya di persada antarabangsa.
Tarikh Input: 04/02/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor