Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh:Suziana Che Wil
Serdang, 15 Oktober – Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong kecemerlangan alumni di pelbagai bidang termasuk sukan, khususnya FootGolf yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga alumni UPM.

Satu sesi pertemuan santai telah diadakan di Kelab Golf UniPutra UPM bersama Encik Muhd Hasrul B. Hasan, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) Tahun 2000 & 2003, yang menamatkan Diploma Pertanian pada tahun 1998 dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Industri pada tahun 2003. Pertemuan ini diadakan sebagai tanda sokongan kepada beliau yang bakal mewakili Malaysia dalam kejohanan China FootGolf Open 2025 (FOOTGOLF FIFG500) yang akan berlangsung pada 15 hingga 22 Oktober 2025 di Tianjin City, Republik Rakyat China.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Encik Fahmi Azar Mistar, dan Timbalan Presiden PAUPM, Encik Shahrudin Mahadi, yang hadir menyampaikan kata semangat dan sokongan moral kepada beliau sebelum berangkat menyertai kejohanan antarabangsa tersebut.

Encik Muhd Hasrul, yang merupakan bekas pelajar yang pernah menetap Kolej Mohd Rashid (KMR), kini aktif dalam arena FootGolf tempatan dan antarabangsa. Untuk tahun 2025 sahaja, beliau telah menyertai lapan siri kejohanan dengan kejayaan cemerlang termasuk dinobatkan sebagai Johan Terbuka Terengganu, Selangor, Johor dan Terbuka Malaysia 2025.
Dalam sesi temu bual, beliau menzahirkan rasa syukur atas sokongan yang diterima daripada PAUPM dan ARCUPM serta berkongsi pesanan kepada warga alumni dan pelajar UPM agar menjadikan sukan sebagai medium penyatuan komuniti.
“Kepada bakal alumni dan alumni sedia ada, kalau kita nak lebih akrab, sertailah FootGolf. Melalui sukan ini, kita boleh mengenali alumni dari pelbagai generasi. FootGolf ini tak kira usia — semua boleh main. Inilah cara kita menyatukan kembali alumni UPM,” katanya.

Inisiatif PAUPM ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan alumni, tetapi juga mencerminkan nilai ‘Berilmu Berbakti’ yang menjadi tunjang keluarga besar Alumni UPM dalam usaha membina jaringan profesional dan semangat setiakawan yang berterusan.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 27/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor