Nostalgia Pertemuan 2026: Kisah Lama, Cerita Baharu | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » Nostalgia Pertemuan 2026: Kisah Lama, Cerita Baharu

Nostalgia Pertemuan 2026: Kisah Lama, Cerita Baharu

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana Che Wil

SERDANG, 30 Mac 2026–Program Nostalgia Pertemuan 2026: Kisah Lama, Cerita Baharu telah berjaya diadakan di perkarangan parkir Blok Perempuan, Kolej 10, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini dianjurkan bagi menghimpunkan alumni UPM, khususnya mereka yang pernah menetap di Kolej 11, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk bertemu semula dan mengimbau kembali kenangan sepanjang bergelar pelajar universiti.

Program ini dirancang sebagai satu pertemuan yang bersifat santai dan eksklusif, di mana para alumni turut berpeluang hadir bersama keluarga masing-masing sambil berkongsi kisah serta kenangan lama. Ramai dalam kalangan mereka mengambil kesempatan ini untuk mengimbau kembali detik-detik bermakna yang pernah dilalui, termasuk suka dan duka sepanjang kehidupan di kampus.

Bertepatan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, suasana majlis turut diserikan dengan kemeriahan perayaan yang dipenuhi dengan senyuman, gelak tawa serta semangat kebersamaan dalam kalangan para hadirin.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Dato’ Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar Selangor merangkap alumni UPM bagi kelas tahun 2002, serta Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zaid, juga alumni bagi kelas tahun 2002. Kehadiran kedua-dua tokoh ini menambah seri majlis, di samping menyampaikan ucapan serta harapan agar hubungan alumni terus kekal erat dan kenangan yang terjalin sentiasa dihargai.

Secara keseluruhannya, Program Nostalgia Pertemuan 2026: Kisah Lama, Cerita Baharu berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh jaringan alumni serta memupuk semangat kekitaan dalam komuniti UPM. Program ini menjadi satu platform bermakna untuk para alumni bertemu semula, mengimbau kenangan lalu serta meraikan ikatan persahabatan yang kekal utuh sejak zaman universiti.

Tarikh Input: 30/03/2026 | Kemaskini: 30/03/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (01:41:14pm-01:46:14pm, 09 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]