MYFUNDACTION- UPM LAKSANAKAN PENYERAHAN 6600 KIT 3K | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MYFUNDACTION- UPM LAKSANAKAN PENYERAHAN 6600 KIT 3K

MYFUNDACTION- UPM LAKSANAKAN PENYERAHAN 6600 KIT 3K

01 Mac 2021, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS)- Satu majlis penyerahan ringkas bungkusan kit bantuan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim. Kit bantuan yang disediakan seperti peralatan kebersihan diri, set makanan kering, pek makanan ready to eat, set peralatan perlindung diri (PPE), lampin dewasa dan kanak- kanak serta tablet dan komputer riba merupakan keperluan semasa yang sangat diperlukan. Antara objektif utama aktiviti ini adalah memberi kesedaran kepada golongan muda dan belia mengenai kepentingan aktiviti kesukarelawan, selain menyumbang idea serta tenaga dalam negara mendepani COVID-19.


Penglibatan agensi kerajaan dan NGO memainkan peranan penting dalam memastikan semua pihak mengambil tanggungjawab menjaga masyarakat dan negara secara kolektif. Dalam pada itu UPM menyambut baik hasrat MyFundAction melalui Chapter Alumni Yosh UPM untukb menjadikan Pusat Perhubungan Alumni sebagai kawasan penyimpanan dan pembungkusan barang bantuan. Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Shahabuddin Ibrahim, Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 MAEPS, Prof. Dr Arifin bin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM dan Tuan Mohammad Afiq Nazary, Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction.

Aktiviti yang berlangsung selama 4 hari bermula 26 Februari sehingga 1 Mac ini berjaya disiapkan dengan 6600 kit bantuan dibungkus. Sukarelawan yang terdiri daripada pelajar di kolej kediaman, staf UPM, ahli sahabat masjid UPM, sukarelawan Chapter Alumni Yosh UPM, sukarelawan YOSH MyFundAction serta wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyerlahkan sifat keprihatinan mereka dalam bersama-sama mendepani cabaran penularan pandemik COVID-19. Profesor Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia yang turut hadir dalam majlis penyerahan mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan pihak MyFundAction yang terus membantu mereka yang memerlukan dalam misi bantuan seperti ini. “UPM ingin berterima kasih kepada mereka yang telah terlibat dalam aktiviti pembungkusan
barang kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 di PKRC MAEPS. Kami juga di UPM sentiasa mengalu-alukan kerjasama agensi luar dalam aktiviti sukarelawan seperti ini. Dengan kerjasama ini diharapkan banyak lagi NGO yang bersama dalam melaksanakan aktiviti yang berbentuk seperti ini”.

 

Tarikh Input: 08/03/2021 | Kemaskini: 08/03/2021 | sufian.ismail

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZTA1~