Misi Bantuan Mangsa Banjir ARCUPM Ke Pusat Pertanian Meru, Klang, Selangor | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Misi Bantuan Mangsa Banjir ARCUPM ke Pusat Pertanian Meru, Klang, Selangor

Misi Bantuan Mangsa Banjir ARCUPM ke Pusat Pertanian Meru, Klang, Selangor

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

Foto : Ag Famezan Ag Mohd Noh

 

24 Disember 2021, Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah sama-sama turun padang bagi membantu mangsa banjir di Selangor. Porgram ini telah mula digerakkan pada hari pertama Selangor lumpuh dilanda banjir besar. Hampir keseluruhan daerah di Selangor telah dilanda banjir dan paling terjejas ialah di dearah Shah Alam dan juga Kuala Langat.

Melalui data yang dikumpul hampir 50 staf Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terkesan akibat banjir besar ini. UPM dan Pusat Perhubungan Alumni tanpa berlengah terus menggerakkan Program Putra Cakna : Misi Bantuan Banjir kepada alumni dan staf UPM yang terjejas.

Menerusi program ini pelbagai sumbangan makanan dan keperluan telah berjaya dikumpul daripada alumni kepada mereka yang terjejas demi meringankan beban dan juga tanda solidariti kepada rakan yang terkesan. Antara alumni terawal yang hadir menghulurkan bantuan ialah pihak Amco Niaga Sdn Bhd, Tuan Haji Mat Amin Jaafar (alumni kelas 1994) dan Encik Yahya Bazlan Ismail (alumni kelas 1995)  yang telah menyumbang 50 kampit beras kepada mangsa banjir. Selain itu, sumbangan alumni daripada program 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit (1A1SR) telah menyerahkan 50 pek makanan kering kepada mangsa bencana banjir.

Dalam misi ini juga, ARCUPM yang diketuai oleh Timbalan Pengarah, Encik Fahmi Azar Mistar bersama staf ARCUPM telah ke Pusat Pertanian Meru, Klang bagi membantu urusan pembersihan dan juga menyampaikan sedikit sumbangan daripada alumni UPM.

Menurut Pegawai Pertanian Daerah Klang, Encik Ahmad Nazri Abdullah Zawawi yang juga alumni UPM kelas 2000 dan 2005, keseluruhan blok di pusat pertanian itu telah dinaiki air bermula 18 Disember 2021. Air yang naik secara cepat dan mendadak, menyebabkan urusan permindahan barang-barang yang terdapat di pusat itu kebanyakan tidak dapat diselamatkan. Antaranya baja-baja yang terletak di dalam bilik stor tidak sempat untuk diselamatkan. Begitu juga dengan alatan kursus hampir keseluruhannya ditenggelami air.

“Hari Sabtu itu air naik sangat cepat. Kebetulan pula pada hari cuti. Kebanyakan staf berada di rumah masing-masing dan rumah mereka juga ditenggelami air. Demi keselamatan staf dan keluarga memang tiada apa yang kami boleh lakukan selain pasrah dan berdoa agar air tidak terus naik. Tetapi banyak yang telah ditenggelami dan kami cuba sedaya upaya menyelamatkan peralatan yang masih boleh digunakan. Namun banyak beg baja yang rosak kerana beberapa hari terendam di dalam air.

“Selaku ketua di sini, saya amat menghargai bantuan yang dihulurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni dalam misi membantu pembersihan dan pemberian sumbangan. Apabila dihubungi oleh pihak ARCUPM yang akan ke sini dalam misi bantuan, saya jadi sebak. Hubungan erat antara alumni, ARCUPM dan alma mater bukan sahaja pada waktu senang. Saat sukar begini kehadiran anda semua sebenarnya bukan sahaja meringankan urusan pembersihan tetapi secara langsung telah memberi sokongan moral kepada kami untuk bangkit kembali.” Ujar Nazri.

Misi yang bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 4 petang itu akan terus bersambung pada Isnin (27 Disember 2021) yang turut melibatkan 33 orang pelajar UPM daripada Chapter Student Ambassador (CSA).  

Sesungguhnya ujian itu datang dalam pelbagai cara dan bentuk, tiada lain hanyalah ingatan daripada Allah S.W.T kepada hamba-Nya bahawa tiada yang kekal melainkan taqwa kepada-Nya.

ARCUPM akan terus membantu dalam usaha untuk sama-sama bangkit kembali dan membina semula kejayaan demi bangsa, agama, komuniti dan pastinya demi UPM dan alumni.

Kepada seluruh warga kerja dan pengurusan Pusat Pertanian Meru, Klang kita sama-sama bangkit bersama. Dengan slogan daripada AlumniKepadaUPM dan seganding bersama mencitra alumni akan terus kita kukuhkan semangat kekitaan dan kebersamaan dalam mengharungi waktu sukar dan senang.

Tarikh Input: 28/12/2021 | Kemaskini: 04/01/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaHAo~