MINDFUL STEPS BY THE VETS | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MINDFUL STEPS BY THE VETS

MINDFUL STEPS BY THE VETS

Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Wil 

Serdang, 1 Februari 2026 – Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah berjaya menganjurkan program Mindful Steps By The Vets, satu inisiatif yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental dalam kalangan pengamal serta pelajar perubatan veterinar.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat keselamatan di Dataran Menara Budi, Universiti Putra Malaysia (UPM), sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan santai di sekitar Ladang 5, UPM. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah berfungsi sebagai medium sokongan kesejahteraan mental melalui interaksi sosial dan persekitaran semula jadi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran serta perasmian oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham bin Mohd Haron merangkap Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, yang juga merupakan alumni UPM. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan padu pihak kepimpinan terhadap usaha memelihara kesejahteraan mental pengamal veterinar di Malaysia.

Program diteruskan dengan sesi fotografi sebelum peserta menyertai Peer Sharing Well-being Circle yang berlangsung di Foyer Dewan Taklimat Serdang, Bangunan Canselori UPM. Sesi perkongsian ini menampilkan panel daripada MAVMA yang terdiri daripada Dr. Chee Liung Wun, Presiden MAVMA, dan Dr. Dennis Lim Chang Wei, yang berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan cabaran kesihatan mental dalam profesion veterinar. 

Program diakhiri dengan sesi jamuan ringan dan penutup, sekali gus mengukuhkan jaringan profesional serta semangat kebersamaan dalam kalangan peserta. Penganjuran program ini turut mendapat sokongan penajaan daripada Pets Universe Sdn. Bhd.

Secara keseluruhannya, Mindful Steps By The Vets menjadi platform bermakna dalam meningkatkan kesedaran kesihatan mental serta menzahirkan komitmen berterusan MAVMA dan ARCUPM dalam menyokong kesejahteraan holistik komuniti veterinar di Malaysia. Pihak ARCUPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Tarikh Input: 05/02/2026 | Kemaskini: 06/02/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (07:54:13pm-07:59:13pm, 01 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]