Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 27 November - Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan sumbangan alumni melalui program Dapur Madani serta merangka kerjasama strategik bersama rakan penaja. Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Persatuan Alumni UPM itu memberi penekanan kepada penyediaan sumbangan makanan asas dan makanan sedia dimakan bagi memperkukuh kebajikan pelajar selaras dengan aspirasi program Dapur Madani.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, dan turut disertai Timbalan Presiden Persatuan Alumni UPM, Encik Shahrudin Mahadi. Wakil KOSASS yang hadir ialah Dr. Mohd Hadi Akbar Basri, Puan Nur Fazrina Ismail dan Puan Sanorumi Dawam @ Tawil. Turut bersama ialah wakil Alumni Relations Centre UPM (ARCUPM), Puan Nur Sahira Faghira Tahrir Adli, Encik Mohd Sahrizan Mat Yatim dan Cik Nur Ainna Nabilah Amran, manakala Persatuan Alumni UPM diwakili oleh Cik Siti Farhana Saludin dan Puan Siti Rohani Mohamed.

Perbincangan yang dijalankan telah membuka ruang kepada perancangan yang lebih sistematik dalam memastikan bantuan makanan dapat disalurkan dengan teratur dan berkesan kepada pelajar yang memerlukan. Usaha ini juga memperkukuh jaringan kerjasama antara alumni, kolej kediaman dan pusat hubungan universiti dalam memastikan kesejahteraan pelajar terus terjamin.
Kesimpulannya, mesyuarat ini berjaya merumuskan kesepakatan untuk memperkukuh pelaksanaan program Dapur Madani melalui penyelarasan yang lebih efektif dan kerjasama strategik yang lebih kukuh. Inisiatif ini menggambarkan komitmen berterusan pihak alumni dan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Tarikh Input: 18/12/2025 | Kemaskini: 18/12/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor