Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 1 Oktober – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Protokol Minggu Perkasa Putra (MPP) 2025 bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang turut disertai oleh pelajar yang bertugas sebagai pengacara majlis (emcee) dan pengiring tetamu (usher) bagi program tersebut.
Mesyuarat ini diadakan bagi menyelaras pelaksanaan protokol dan memperincikan tanggungjawab setiap pelajar yang terlibat dalam memastikan perjalanan majlis rasmi sepanjang program Minggu Perkasa Putra berjalan lancar dan teratur.
Melalui sesi taklimat dan perbincangan yang dikendalikan bersama pihak BHEP, para pelajar diberikan pendedahan tentang etika protokol, tatacara penyambutan tetamu kenamaan, serta persediaan pengendalian majlis rasmi universiti. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan protokol, malah turut membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kecekapan dalam pengurusan acara.
Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Perhubungan Alumni dan BHEP dalam memperkukuh jalinan kolaborasi serta melahirkan pelapis pelajar berkemahiran tinggi dalam bidang protokol dan pengurusan majlis rasmi universiti.
Kesimpulannya, usaha ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada pelajar UPM dalam mempersiapkan diri sebagai mahasiswa berdaya saing, berketerampilan dan memiliki keupayaan memimpin dengan profesionalisme dalam setiap penganjuran program universiti pada masa hadapan.
Tarikh Input: 24/10/2025 | Kemaskini: 24/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor