Disunting oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 2 Oktober – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Malam Budaya Borneo (MATNA) 2025 bagi membincangkan secara terperinci pelaksanaan program yang akan menjadi antara acara utama dalam sambutan Malam Tautan Nostalgia Alumni (MATNA) 2025.

Mesyuarat ini dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Sylvester Entri Muran, Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Alumni UPM (Sarawak), serta Cik Siti Farhana, wakil Persatuan Alumni UPM. Turut hadir ialah wakil daripada Persatuan Mahasiswa Sabah UPM (PERMASA PUTRA) dan Persatuan Kebajikan Anak Sarawak UPM (PERKASA SARAWAK).
Perbincangan memberi tumpuan kepada aspek utama penganjuran, termasuk konsep acara, pengisian program, peranan setiap pihak terlibat serta elemen budaya yang akan diketengahkan seperti persembahan muzik etnik, tarian tradisional, segmen nostalgia alumni dan pameran mini budaya.

Kehadiran wakil pelajar dari Sabah dan Sarawak mencerminkan semangat kerjasama erat antara alumni dan mahasiswa, selain menunjukkan komitmen bersama dalam memartabatkan warisan seni dan budaya Borneo.
Dengan tema “Mengikat Kenangan, Menyatukan Alumni”, Malam Budaya Borneo diharap menjadi platform penyatuan warga UPM serta simbol kepada kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan bersama.

Kesimpulannya, mesyuarat penyelarasan ini menjadi langkah awal penting ke arah penganjuran Malam Budaya Borneo (MATNA) 2025 yang dijangka berlangsung penuh warna-warni dan bermakna. Pusat Perhubungan Alumni UPM menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan kejayaan program ini.
Tarikh Input: 24/10/2025 | Kemaskini: 24/10/2025 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor