Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 13 Januari 2026 – Mesyuarat Pembangunan Modul Putra Lead bagi Modul 7: Penjanaan dan Pendanaan Lestari telah diadakan bagi membincangkan aspek pembangunan, penambahbaikan serta hala tuju modul agar terus relevan dan selari dengan keperluan semasa Universiti Putra Malaysia. Mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkukuh modul pembangunan kepimpinan pelajar yang bersifat menyeluruh dan mampan.

Mesyuarat ini telah menghimpunkan wakil daripada pelbagai fakulti dan pusat. Ianya mencerminkan pendekatan kolaboratif dalam memperkasa kandungan modul. Antara yang terlibat dalam perbincangan ialah Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia, Puan Nik Hafzaini Nik Hassan dari Bahagian Akademik, Encik Syafiq Hariz Mohd Hanafiah dari Fakulti Sains, Puan Nur Suhaila Juharei dari Centre for Entrepreneurship and Management, Puan Aida Fitri Peli dari Fakulti Kejuruteraan; serta Encik Mohd Syawal Sauti dari Kolej Kediaman Canselor.


Sepanjang mesyuarat, perbincangan tertumpu kepada penilaian kandungan sedia ada, cadangan penambahbaikan, serta hala tuju strategik Modul 7 yang menekankan aspek penjanaan sumber dan pendanaan lestari dalam pelaksanaan program kepimpinan pelajar. Perkara ini dilihat selari dengan keperluan universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya tahan, berfikiran strategik dan mampu mengurus sumber secara berkesan.
Hasil perbincangan ini diharapkan dapat memperkukuh kandungan Modul Putra Lead sebagai platform pembangunan kepimpinan yang holistik dan berimpak tinggi, seterusnya melahirkan graduan Universiti Putra Malaysia yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Tarikh Input: 13/01/2026 | Kemaskini: 13/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor