Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) Bil. 4/2025 Dan Bengkel MALUMNI | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) Bil. 4/2025 Dan Bengkel MALUMNI

Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) Bil. 4/2025 Dan Bengkel MALUMNI

Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Wil

Langkawi, 26 Oktober – Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) Bil. 4/2025 dan Bengkel MALUMNI telah berjaya diadakan pada 23 hingga 26 Oktober 2025 bertempat di Hotel Adya Express, Pantai Chenang, Langkawi, Kedah.

Mesyuarat dan bengkel ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, selaku Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia. Turut hadir ialah YBhg. Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia, bersama para Pengarah dan pegawai perhubungan Pusat Alumni universiti awam seluruh Malaysia.

Fokus utama mesyuarat dan bengkel kali ini adalah bagi memperincikan serta memurnikan Pelan Strategik MALUMNI 2025–2027, agar pelaksanaannya dapat dijalankan dengan lebih berkesan, tersusun, dan mencapai objektif yang telah digariskan.

Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) turut mengambil bahagian dalam sesi ini dengan membentangkan Kertas Dasar/Polisi Berkaitan Tadbir Urus Alumni, selain mengadakan sesi rakaman video bersama semua Pengarah Alumni universiti awam sebagai persediaan bahan untuk Program Kompetensi Kepimpinan & Pengurusan Strategik Alumni (KOMPAS).

Program empat hari ini bukan sahaja menjadi medan untuk membincangkan hala tuju dan strategi pembangunan alumni universiti awam, malah turut mengukuhkan semangat kolaborasi antara institusi dalam memperkasa jaringan alumni di seluruh negara.

Secara keseluruhannya, penganjuran mesyuarat dan bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan universiti awam dalam memperkukuh tadbir urus dan jaringan alumni yang berdaya saing. Melalui platform seperti MALUMNI, diharapkan setiap universiti dapat terus berganding bahu dalam membina ekosistem alumni yang lestari, berimpak tinggi dan menyumbang secara signifikan kepada kemajuan pendidikan tinggi negara.

ARCUPM turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah atas penganjuran yang tersusun serta hospitaliti yang cemerlang sepanjang berlangsungnya mesyuarat dan bengkel ini.

Tarikh Input: 03/11/2025 | Kemaskini: 14/01/2026 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (02:50:36pm-02:55:36pm, 18 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]