Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 31 Januari 2026 – Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) telah berjaya dilaksanakan bertempat di Bilik Sidang Jurutera, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), melibatkan penyertaan para Pengarah serta Pegawai Perhubungan Pusat Alumni Universiti Awam dari seluruh negara.
Mesyuarat dan bengkel ini telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif selaku Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI). Penganjuran mesyuarat ini bertujuan memperkukuh penyelarasan serta kerjasama strategik antara pusat alumni universiti awam dalam memperkasa peranan alumni sebagai rakan strategik pembangunan institusi pengajian tinggi.



Fokus utama mesyuarat dan bengkel ini adalah bagi memperincikan pelan strategik MALUMNI agar perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, berkesan dan selari dengan objektif yang telah ditetapkan. Perbincangan turut menumpukan kepada pendekatan pelaksanaan, pemantauan serta pengukuran keberhasilan inisiatif yang dirancang.
Melalui sesi bengkel yang diadakan, para peserta berpeluang bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta mencadangkan penambahbaikan terhadap strategi sedia ada, khususnya dalam aspek penglibatan alumni, pembangunan jaringan kerjasama dan pemerkasaan sumbangan alumni kepada universiti serta masyarakat.


Secara keseluruhannya, mesyuarat dan bengkel MALUMNI ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hala tuju strategik alumni universiti awam di peringkat nasional. Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan MALUMNI dalam memastikan peranan alumni dimanfaatkan secara optimum sebagai pemangkin kecemerlangan universiti, seterusnya menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi dan kemajuan negara secara mampan.
Tarikh Input: 04/02/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor