Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 11 Julai – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Mesyuarat Kad Legasi UPM bagi membincangkan pelaksanaan, pembangunan dan penambahbaikan inisiatif Kad Legasi UPM sebagai usaha memperkukuh hubungan berterusan antara universiti dan komuniti alumni.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, serta dihadiri oleh wakil daripada Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), iaitu Encik Mohd Shafree Ahmad dan Encik Harun Jantrik, bersama-sama pegawai dan staf Pusat Perhubungan Alumni UPM.
Perbincangan yang berlangsung memberi tumpuan kepada pelbagai aspek penting, termasuk pengurusan sistem, kemudahan akses serta penambahbaikan fungsi Kad Legasi UPM bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, mesra pengguna dan memenuhi keperluan komuniti alumni. Turut dibincangkan ialah cadangan nilai tambah yang bakal dinikmati oleh pemegang Kad Legasi UPM bagi meningkatkan manfaat serta pengalaman pengguna pada masa hadapan.

Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperkasakan transformasi digital dan memperkukuh jaringan hubungan bersama alumni melalui penyediaan platform serta perkhidmatan yang lebih sistematik, inovatif dan berdaya saing.
Pusat Perhubungan Alumni UPM berharap hasil daripada perbincangan yang dijalankan akan memperkukuhkan lagi peranan Kad Legasi UPM sebagai medium penghubung yang lebih efektif antara alumni dan alma mater. Inisiatif ini diharapkan dapat terus menyokong usaha universiti dalam membina komuniti alumni yang aktif, berhubung rapat dan sentiasa menyumbang kepada kecemerlangan Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 20/07/2026 | Kemaskini: 20/07/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor