MESYUARAT INDUK HOMECOMING XIII | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MESYUARAT INDUK HOMECOMING XIII

MESYUARAT INDUK HOMECOMING XIII

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

Disunting oleh: Suziana binti Che Wil

SERDANG, 22 MEI — Sesi sidang mesyuarat pertama Sirih Pulang ke Gagang @Homecoming XIII  untuk pertama kali telah berjaya dilaksanakan di Dewan Senat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia. Majlis Makan Malam Homecoming XIII yang dianjurkan secara dwitahunan ini meletakkan Pusat Perhubungan Alumni UPM sebagai penganjur utama dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM serta penglibatan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ), antaranya Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM (PSPK), Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Pusat Pertanian UPM, WAZAN, APSEC, fakulti-fakulti serta kolej-kolej kediaman.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohamad Aris Mohd Mokhlas yang memulakan sesi dengan mengalu-alukan kehadiran semua ahli jawatankuasa serta wakil PTJ yang terlibat. Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik dan penyelarasan yang sistematik dalam memastikan kelancaran penganjuran Majlis Makan Malam Homecoming XIII. Turut hadir ialah Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), serta Encik Mohd Norashedy Ab Rashid, Presiden Persatuan Alumni UPM.

Mesyuarat ini bertujuan menghimpunkan pandangan, cadangan dan idea daripada ahli jawatankuasa bagi memperkukuh perancangan penganjuran majlis yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober 2026. Sepanjang mesyuarat berlangsung, setiap jawatankuasa telah membentangkan skop tugasan masing-masing termasuk perancangan kerja serta garis masa pelaksanaan yang akan digunakan sepanjang tempoh persiapan program. Perbincangan turut dipenuhi dengan pelbagai pandangan, cadangan dan idea penambahbaikan daripada ahli jawatankuasa serta wakil PTJ bagi memastikan penganjuran program dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan. 

Selain itu, sesi mesyuarat ini juga bertujuan membuka ruang perbincangan secara menyeluruh dalam usaha memperkemas persiapan program serta memperkukuh koordinasi antara semua pihak yang terlibat. Pelbagai aspek persediaan telah dibincangkan bagi memastikan penganjuran yang memasuki edisi ke-13 ini dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan memenuhi harapan seluruh pihak, khususnya komuniti alumni UPM.

Secara keseluruhannya, mesyuarat induk Sirih Pulang ke Gagang @ Homecoming XIII berjaya dilaksanakan dengan lancar dan menjadi platform penting dalam menyelaraskan gerak kerja serta memperkukuh kerjasama antara ARCUPM, Persatuan Alumni UPM dan pusat tanggungjawab universiti menjelang penganjuran program tersebut.

Tarikh Input: 25/05/2026 | Kemaskini: 25/05/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (04:52:18pm-04:57:18pm, 25 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]