Oleh: Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
Disunting oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 8 Ogos - Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Haji Jefri bin Haji Mohamed Zain, Alumni UPM Tahun 1995 & 1998 (Bacelor Sains Ekonomi Sumber, Master Sains Komunikasi Korporat), atas persembahan penuh penghayatan puisi “Akad Percintaan” karya Jasni Matlani. Setiap bait yang dilantunkan beliau hadir dengan jiwa, seolah-olah mengalirkan pengalaman dan rasa yang begitu mendalam kepada para hadirin. Persembahan ini menjadi lebih bermakna apabila diiringi dengan petikan gitar indah oleh Dr. Sopian Brahim, Alumni UPM Tahun 1997 (Bacelor Sains Pembangunan Manusia), yang mengiringi setiap kata dengan melodi penuh perasaan. Suara dan kata bersatu dengan irama, lalu melahirkan sebuah pengalaman seni yang menyentuh hati dan sukar dilupakan.
Gabungan antara kata-kata indah dan alunan muzik mencipta ruang refleksi buat para hadirin — bukan sekadar hiburan, tetapi suatu bentuk renungan dan apresiasi terhadap nilai seni dan budaya. Malam Puisi Alumni sekali lagi membuktikan bahawa universiti bukan hanya melahirkan cendekiawan dalam bidang akademik, tetapi juga insan-insan berbakat yang terus menyumbang dalam dunia kesenian dan kebudayaan.

Malam Puisi Alumni turut disemarakkan dengan persembahan penuh semangat oleh dua alumni muda berbakat besar — Encik Mohd Azim Khairul Amir (Alumni UPM Tahun 2020) dan Encik Suhairey Shah Mashara (Alumni UPM Tahun 2024). Mereka bukan sahaja staf UPM yang berdedikasi, tetapi juga pemenang Pertandingan Sayembara Puisi Merdeka Inter PTJ sempena Program Semarak Merdeka UPM 2024. Dengan semangat dan kebersamaan, mereka mempersembahkan puisi “Memugar Ladang Bangsa” karya Ab Rani Embi, mengalirkan rasa puitis yang sarat dengan semangat patriotik. Setiap bait yang mereka lantunkan seolah-olah meniupkan roh perjuangan dan membangkitkan kesedaran cinta tanah air di kalangan hadirin.

Keseluruhan persembahan pada malam itu meninggalkan kesan yang mendalam, bukan sahaja dari sudut seni kata dan alunan muzik, tetapi juga dari sudut nilai kebersamaan dan kebanggaan sebagai alumni UPM. Ia adalah bukti nyata bahawa seni adalah bahasa sejagat yang menyatukan, menghidupkan kenangan, dan membangkitkan semangat.
Tarikh Input: 08/12/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor