MENGUKUHKAN HUBUNGAN, MENGINSPIRASIKAN KECEMERLANGAN | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MENGUKUHKAN HUBUNGAN, MENGINSPIRASIKAN KECEMERLANGAN

MENGUKUHKAN HUBUNGAN, MENGINSPIRASIKAN KECEMERLANGAN

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

Disunting oleh: Suziana binti Che Wil

SERDANG, 15 JUN – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Pelancaran Bulan Sinergi Putra menerusi sebuah reruai khas yang menampilkan pelbagai inisiatif, pencapaian serta impak sumbangan alumni dalam menyokong pembangunan universiti dan kebajikan pelajar.

Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, FASc, Naib Canselor UPM; serta Encik Nuqman Naufal bin Nor Azhari, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, atas kesudian mengunjungi reruai tersebut dan meluangkan masa meninjau pelbagai usaha yang telah digerakkan oleh komuniti alumni UPM.

Melalui reruai ini, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat peranan strategik alumni dalam menyumbang kepada kemajuan universiti, khususnya melalui inisiatif pengumpulan dana dan penajaan biasiswa yang diwujudkan hasil keprihatinan serta semangat memberi kembali kepada alma mater. Usaha ini telah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar UPM untuk meneruskan pengajian dan mencapai kecemerlangan akademik.

Turut menjadi tarikan utama ialah pameran Menara Putra Warisan Budi, sebuah simbol yang menggambarkan kekuatan jaringan alumni serta budaya filantropi yang terus subur dalam kalangan graduan UPM. Menara ini mencerminkan sokongan berterusan alumni yang telah menyumbang kepada pelbagai inisiatif pembangunan universiti dan kesejahteraan warga kampus.

Penyertaan dalam Bulan Sinergi Putra ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti, malah menjadi platform untuk menginspirasikan lebih ramai warga UPM agar bersama-sama menyemarakkan budaya menyumbang demi kecemerlangan generasi masa hadapan.

Tarikh Input: 19/06/2026 | Kemaskini: 19/06/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (12:30:20am-12:35:20am, 15 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]