Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 11 Julai – Suasana penuh nostalgia dan kemesraan mewarnai Majlis Reunion Graduan Diploma Pertanian Tahun 1978 yang berlangsung pada 11 Julai 2026 di L'Apprenti Restaurant & Deli, Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis ini menghimpunkan semula para alumni selepas hampir lima dekad menamatkan pengajian, sekali gus menjadi platform untuk mengeratkan kembali hubungan yang telah terjalin sejak bergelar mahasiswa.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, Wakil Persatuan Alumni UPM, Encik Affendy Shamsuddin, Pengerusi Alumni 1978, Profesor Datuk M. Nasir Shamsudin, serta Mantan Pengurus Persatuan Alumni UPM, Encik Haji Wan Ali Abdul Rahman. Kehadiran para tetamu kehormat mencerminkan komitmen berterusan universiti dan komuniti alumni dalam memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin.
Sepanjang majlis berlangsung, para alumni berpeluang mengimbau kenangan sepanjang menuntut di UPM, bertukar khabar serta berkongsi pengalaman kehidupan dan kerjaya masing-masing. Suasana yang penuh keakraban jelas menggambarkan nilai persahabatan dan semangat kekitaan yang terus utuh walaupun hampir lima dekad telah berlalu.

Penganjuran majlis reunion seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan alumni, malah memperkasakan jaringan kerjasama antara alumni dan universiti. Hubungan yang erat ini diharapkan dapat terus menyumbang kepada pembangunan komuniti alumni yang aktif, saling menyokong serta memberi manfaat kepada Universiti Putra Malaysia dan masyarakat secara keseluruhannya.
Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua alumni yang telah meluangkan masa untuk menghadiri dan memeriahkan majlis ini. Semoga pertemuan yang penuh bermakna ini menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program yang mengukuhkan ukhuwah serta mempererat hubungan antara alumni dan alma mater demi kecemerlangan yang berterusan.

Tarikh Input: 20/07/2026 | Kemaskini: 20/07/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor