Memartabatkan Bahasa Melayu Bukan Sekadar Tanggungjawab Pendidik, Pemikir Dan Para Cendekiawan, Tetapi Ia Tanggungjawab Semua Warganegara! | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Memartabatkan Bahasa Melayu Bukan Sekadar Tanggungjawab Pendidik, Pemikir dan Para Cendekiawan, Tetapi ia Tanggungjawab Semua Warganegara!

Memartabatkan Bahasa Melayu Bukan Sekadar Tanggungjawab Pendidik, Pemikir dan Para Cendekiawan, Tetapi ia Tanggungjawab Semua Warganegara!

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

Terjemahan BI : Siti Nur’Ain Feisal 

 

SERDANG, 15 FEB – Program Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat Universiti Putra Malaysia (UPM) telah pun dilaksanakan pada 7 Oktober 2021 hingga 9 Februari 2022 secara dalam talian. Program ini bukanlah sekadar  satu sambutan yang diisi dengan program semata-mata, malahan juga merupakan usaha pemupukan serta penghayatan semangat mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini. 

Program Dekad Bahasa Kebangsaan yang dijalankan ini secara langsungnya telah dapat merealisasikan hasrat universii iaitu dengan memberikan impak yanh lebih besar dalam pemerkasaan bahasa Melayu. Dalam usaha itu, pelbagaI aktiviti berkaitan kebahasaan telah dilaksanakan oleh UPM melalui Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK). Ini merupakan satu langkah proaktif untuk memperkasakan lagi bahasa Melayu.

Program Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat UPM ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti kebahasaan antaranya forum yang bertajuk “Gagasan dan Cabaran dalam Pengukuhan Jati diri Rakyat Malaysia”, pertandingan Semarak Pantun Bahasa Kebangsan UPM 2021, Pertandingan Pidato Bahasa Jiwa Bangsa, Klinik Bahasa dan Sayembara Deklamasi Sajak. 

Tiada lain, penganjuran aktiviti ini adalah untuk membakar lagi semangat cintakan bahasa dan menerusi aktiviti bahasa dan sastera ini dapat mempelihatkan keindahan dan keunikan bahasa Melayu itu sendiri di kalangan pelajar dan belia hari ini. 

Program yang dijalankan di kampus induk UPM Serdang, turut melibatkan pelajar dan warga kampus Bintulu, Sarawak. Hal ini secara langsung dapat mengeratkan dan memperkukuhkan perpaduan semua warga UPM menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan Melayu. 

Program yang dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka ini dilihat sebagai salah satu cara untuk memperkasakan bahasa Melayu, mewujudkan komuniti cendekiawan dan pemikir yang bereputasi antarabangsa yang dapat dibanggakan dengan karya penulisan kesarjanaan dan penemuan yang signifikan untuk kesejahteraan sejagat. Ini juga satu usaha kearah menghasilkan penyelidikan dan penulisan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sekaligus memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat tertinggi. 

Justifikasi utama program ini adalah untuk meningkatkan minat kalangan pelajar dan seluruh warga UPM dan seluruh warganegara Malaysia untuk bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan dan menjadikan ia bahasa keilmuan yang tinggi. Setiap warganegara perlu memainkan peranan dengan mengambil tanggungjawab bahawa usaha murni ini bukanlah tanggungjawab individu tetapi ianya adalah tanggungjawab seluruh warganegara yang cintakan tanah air. 

Majlis Penangguhan Program Dekad Bahasa Kebangsaan di Peringkat UPM telah diadakan secara hibrid Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM pada 9 Februari 2022 yang lalu. Majlis berkenaan telah mendapat liputan secara langsung di ruangan Live Facebook UPM yang telah dihadiri oleh wakil Dewan Bahasa dan Pustaka, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, barisan dekan-dekan fakulti, jawatankuasa pengurusan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, dan seluruh warga UPM. 

Majlis Penangguhan ini telah dirasmikan oleh wakil Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, iaitu Ybhg. Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia. 

Komitmen pihak pengurusan Universiti akan tetap teguh untuk memastikan bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi terus diperkasakan. Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terus digunakan dalam aktiviti perkongsian maklumat pada tahap tinggi sehingga peringkat antarabangsa.

Tarikh Input: 28/02/2022 | Kemaskini: 14/03/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEbGAx~