Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 20 JUN – Program MEKAR Siri 32: Serdang Angels Hamdan Cup 2.0 melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan, sekali gus membuktikan bahawa semangat persahabatan dan kecintaan terhadap alma mater dalam kalangan alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) terus kekal utuh meskipun masa berlalu.
Penganjuran program yang berlangsung di Padang A, UPM itu berjaya menghimpunkan kira-kira 100 alumni daripada pelbagai generasi yang hadir sama ada sebagai pemain mahupun penyokong pasukan masing-masing. Kejohanan yang berteraskan sukan touch rugby itu bukan sahaja menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat, malah berfungsi sebagai medium yang menyatukan alumni melalui semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan persahabatan yang telah terjalin sejak zaman pengajian.

Lebih istimewa, kejohanan pada tahun ini diadakan bersempena Sambutan Lima Dekad Keunggulan Kolej Tun Dr. Ismail (Legasi 50), Sambutan Hari Alumni UPM serta sebagai sebahagian daripada pengisian Bulan Sinergi Putra 2026 yang diraikan sepanjang bulan Jun. Penganjuran ini bukan sahaja menjadi platform untuk alumni berkumpul semula, malah turut mengimbau nostalgia kehidupan kampus yang pernah membentuk perjalanan dan kejayaan mereka.
Sebanyak lapan pasukan mengambil bahagian dalam dua kategori yang dipertandingkan, iaitu Kategori Premier dan Kategori Legend. Dalam Kategori Premier, Warrior RC muncul sebagai juara selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan. Tempat kedua disandang oleh Ex Vampiria, manakala Hamster dan UNO B masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Bagi Kategori Legend pula, pasukan 7G.I berjaya menjuarai kategori tersebut, diikuti UNO A sebagai naib juara. Angelito dan Old Angel pula melengkapkan senarai empat pasukan terbaik bagi kategori berkenaan.

Menurut pengurus program Encik Abdul Mu’iz Hassan Basri, kejohanan ini membuktikan bahawa hubungan alumni tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya terus berkembang melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti alumni dan universiti. Program seperti ini juga berperanan penting dalam memupuk rasa kebersamaan, memperkukuh identiti alumni serta menyemai semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan Universiti Putra Malaysia.

Secara keseluruhan, semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan persaingan sihat dapat disaksikan dalam setiap perlawanan ragbi sentuh. Sorakan daripada rakan-rakan alumni dan ahli keluarga yang hadir turut menyemarakkan suasana pertandingan, menjadikan kejohanan touch rugby ini lebih daripada sekadar acara sukan, sebaliknya medan mengeratkan hubungan dan membina semula jaringan alumni.
Tarikh Input: 22/06/2026 | Kemaskini: 22/06/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor