MEKAR 27:KEJOHANAN BOLA SEPAK JEMPUTAN ALUMNI UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MEKAR 27:KEJOHANAN BOLA SEPAK JEMPUTAN ALUMNI UPM

MEKAR 27:KEJOHANAN BOLA SEPAK JEMPUTAN ALUMNI UPM

Oleh:  Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting Oleh: Suziana Che Wil 

Serdang, 28 Disember – Program Menggamit Seribu Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) Siri 27: Kejohanan Bolasepak Jemputan Alumni UPM telah berjaya dianjurkan di Stadium Akademi Sukan, Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan aktif warga alumni dalam suasana penuh semangat kesukanan dan nostalgia.

Kejohanan ini merupakan anjuran Kursus Kokurikulum Berkredit QKS 2101 (Bola Sepak) Kumpulan 2, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM (PKPPUPM) dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) bertujuan memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti melalui platform kesukanan.

Sebanyak empat pasukan Alumni UPM yang terdiri daripada alumni Kelas 2000 hingga 2006 telah mengambil bahagian dan berentap dalam kejohanan ini. Selain menjadi medan persaingan sihat, program ini turut meraikan jasa empat bekas jurulatih legenda pasukan bola sepak UPM, iaitu Encik Zainal Abidin bin Yusuf, Encik Shaharuddin bin Ibrahim, Encik Masran bin Mat Aris dan Encik Ismail bin Ibrahim, yang pernah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan bola sepak universiti.

Sepanjang penganjuran program, ARCUPM turut membuka kaunter kemas kini maklumat data alumni, sekali gus menggalakkan alumni yang hadir untuk menyemak dan mengemas kini maklumat mereka sebagai sebahagian daripada komuniti alumni UPM.

Kesimpulannya, MEKAR 27 bukan sekadar kejohanan bola sepak, malah menjadi medium berkesan dalam menggamit kenangan, mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh jalinan berterusan antara alumni dan Universiti Putra Malaysia. Program ini membuktikan bahawa sukan mampu menyatukan alumni dan universiti dalam satu jaringan kebersamaan yang kukuh dan bermakna.

Tarikh Input: 30/12/2025 | Kemaskini: 30/12/2025 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (06:28:19am-06:33:19am, 22 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]