MEKAR 2021: Kempen Kesedaran Kampus Inklusif OKU | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MEKAR 2021: Kempen Kesedaran Kampus Inklusif OKU

MEKAR 2021: Kempen Kesedaran Kampus Inklusif OKU

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

30 Disember 2021, telah berlangsung dengan jayanya Program MEKAR 2021: Kempen Kesedaran Kampus Inklusif OKU. MEKAR merupakan akronim kepada Menggamit Seribu Kenangan: Alumni Reunion. 

MEKAR merupakan program yang akan menghimpunkan ataupun program perjumpaan semula para alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan bantuan ataupun kerjasama daripada Pusat Perhubungan Alumni UPM dan juga Persatuan Alumni UPM. 

Tujuan utama program MEKAR 2021 ini diadakan untuk mengumpul alumni OKU UPM untuk sama-sama meraikan sumbangan mereka kepada kecemerlangan universiti selama ini. Selain itu, program ini juga melihat kepada satu fasa kerjasama yang lebih strategik yang berterusan antara alumni OKU UPM dengan alma mater dan juga sebagai tanda keraian dan pemerkasaan alumni OKU UPM terhadap kejayaan universiti sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). 

Disamping itu, program ini juga dapat memperkasakan semangat kekitaan menerusi pengumpulan dan perjumpaan semula alumni OKU UPM yang selama ini bersama-sama membawa universiti pada tahap kecemerlangan hingga kini. Lebih istimewa lagi, pada hari berlangsungnya program ini juga turut melancarkan penubuhan Chapter Alumni OKU UPM. 

Secara tidak langsung, program dan penubuhan chapter ini sekaligus memperlihatkan akan keterlibatan dan keterlihatan alumi OKU dalam Kempen Kesedaran Kampus Inklusif OKU dalam kita meraikan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021).

Program yang berlangsung buat pertama kalinya di Mini Auditorium Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, telah dirasmikan oleh Encik Shahriman Hashim, Ketua Pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM. Antara yang turut hadir pada program itu ialah Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, wakil alumni OKU UPM, Dr. Mastura Mahamed, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, wakil pelajar, Muhammad Muzhaffar Shah Azmi, Presiden Chapter Student Ambassador UPM, staf ARCUPM dan wakil Persatuan Alumni UPM.

Menurut Shahriman, universiti mengalu-alukan penubuhan Chapter Alumni OKU UPM malah universiti mengiktiraf golongan OKU dalam kalangan pelajar, alumni dan staf UPM yang berganding bersama menerajui kejayaan universiti hingga ke persada antarabangsa. 

“Golongan ini perlu diutamakan seperti yang termaktub dalam Dasar Inklusif OKU UPM 2020. Penubuhan Chapter Alumni OKU ini juga dilihat boleh memasyarakatkan aspirasi keterangkuman dalam persekitaran pengajian tinggi di Malaysia. Chapter ini juga secara tidak langsung akan menjadi platform kepada alumni dan mahasiswa untuk menyuarakan harapan serta pandangan berhubung isu-isu OKU dalam universiti dan kampus. Apa yang menjadi harapan saya ialah agar penubuhan chapter dan Program MEKAR ini akan menjadi medan perintis kepada penubuhan sebuah sekretariat yang boleh bertindak sebagai penasihat kepada mahasiswa dan ‘role model’ kepada mahasiswa universiti,” ujarnya.  

Penubuhan Chapter Alumni OKU UPM dan Program MEKAR ini juga mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang turut memperjuangkan dan lantang menyuarakan isu-isu yang berkaitan dengan OKU di Malaysia. 

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pusat Perhubungan Alumni UPM atas inisiatif yang baik bagi memperkasakan kumpulan OKU dalam kalangan alumni menerusi Kempen Kesedaran Kampus Inklusif OKU bersempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut pada setiap 3 Disember pada setiap tahun. 

Kempen hashtag Dari Alumni Untuk UPM dilihat sebagai daya tarikan untuk memanggil semula alumni UPM agar terus menyumbang kepada alma mater menerusi bantuan sumbangan seperti Biasiswa Alumni, perkongsian kepakaran dan pertukaran ilmu kepada pelajar UPM dan warga kampusnya. 

Harapan saya agar penubuhan Chapter Alumni OKU UPM ini dapat melestarikan kecaknaan terhadap kepentingan dan kewujudan OKU dalam Universiti Awam di Malaysia,” Ujar Senator Datuk Ras Adiba Radzi.  

Terdahulu, UPM menerusi ARCUPM bersama-sama memainkan peranan dalam mengetengahkan suara golongan OKU dan memastikan mereka ini terus mendapat keistimewaan di universiti untuk sama-sama mengejar cita-cita dan impian yang besar. 

Tarikh Input: 13/01/2022 | Kemaskini: 26/01/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdUAQ~