Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana Che Wil
SERDANG, 12 Mac 2026 – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) dengan kerjasama Chapter Alumni YOSH UPM, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM (PKPP UPM) telah menganjurkan Program Mawaddah Ramadan 7.0 sempena Musa’adah Ramadan Siri 5 yang berlangsung di perkarangan Menara Putra, Warisan Budi UPM.
Program ini menghimpunkan warga universiti, alumni dan sukarelawan dalam aktiviti rewang memasak bubur lambuk secara gotong-royong, diikuti dengan edaran bubur lambuk kepada warga kampus serta penyampaian juadah berbuka puasa kepada pelajar Asasi Sains UPM (ASPutra).

Inisiatif Rewang Bubur Lambuk ARCUPM bersama Chapter Alumni YOSH UPM ini berlangsung dengan lancar dan penuh semangat kebersamaan. Program tersebut berjaya menghimpunkan sukarelawan, warga kampus serta alumni dalam suasana rewang yang harmoni, sekali gus menyemarakkan nilai kerjasama, ukhuwah dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan.
Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti Universiti Putra Malaysia, alumni serta masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti kebajikan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Sri Jailani Johari, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); serta Encik Muhammad Nazirul Hafiz Sailal, Penolong Pengarah AKM Selangor yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh kebajikan pelajar dan penglibatan komuniti universiti.
Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah ARCUPM; Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah PKPP merangkap Penasihat Chapter Alumni YOSH UPM; serta Cik Nur Asyiqin Ramli, Presiden Chapter Alumni YOSH UPM.
Menurut Pengarah ARCUPM, acara ini merupakan acara yang biasa dilakukan sebagai salah satu acara tahunan. Kolaborasi bersama Chapter Yosh UPM, AKM dan juga Faiza merupakan satu kolaborasi yang baik dalam menghubungkan pelajar, warga UPM dan alumni di luar sana. Secara tidak langsung program ini menjadi satu wadah dan platform untuk alumni kembali menyumbang kepada Universiti, pelajar dan dalam masa yang untuk sama-sama beribadah pada bulan yang mulia ini.
“Saya mewakili pihak penganjur ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Salwa Abu Bakar, selaku Alumni UPM kelas 1983 dan 1988 merangkap Pengurus Besar Kanan Faiza Sdn. Bhd., atas sumbangan yang telah diberikan bagi menjayakan program ini, juga kepada Chapter Yosh UPM dan juga AKM” ujarnya.
Penghargaan juga ditujukan kepada warga alumni UPM yang turut menghulurkan sumbangan dan sokongan. Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah yang berterusan serta memberi manfaat kepada semua, khususnya pelajar UPM. Keprihatinan dan semangat menyumbang kembali kepada alma mater ini mencerminkan kekuatan ukhuwah dan kebersamaan dalam keluarga besar UPM.

Tarikh Input: 13/03/2026 | Kemaskini: 13/03/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor