Malam Kilauan Mutiara FBMK | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Malam Kilauan Mutiara FBMK

Malam Kilauan Mutiara FBMK

Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid

Disunting Oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 4 Oktober 2025 – Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) atas kejayaan menganjurkan Malam Kilauan Mutiara FBMK, yang diadakan sempena sambutan tiga dekad (30 tahun) penubuhan fakulti tersebut.

Majlis berprestij itu bertambah bermakna dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan alumni FBMK, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara alumni dan alma mater.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Dekan FBMK, YBhg. Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Encik Fahmi Azar Mistar, serta Presiden Persatuan Alumni UPM, Encik Norashedy Ab Rashid.

Dalam majlis tersebut, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid turut mengumumkan komitmen beliau untuk membiayai sepenuhnya penaiktarafan latar siswa FBMK dengan sumbangan berjumlah RM200,000.00, sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pembangunan fakulti yang telah melahirkan ramai tokoh berwibawa dalam bidang bahasa, komunikasi dan media.

Pusat Perhubungan Alumni UPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta sokongan padu alumni terhadap universiti. Sama ada dalam bentuk kewangan, idea, tenaga mahupun bimbingan, semangat kembali menyumbang yang ditunjukkan oleh alumni seperti YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid menjadi manifestasi kecintaan mendalam terhadap alma mater serta contoh inspirasi kepada warga kampus.

Kesimpulannya, Malam Kilauan Mutiara FBMK bukan sahaja meraikan pencapaian fakulti selama tiga dekad, tetapi turut memperkukuh hubungan silaturahim antara alumni dan universiti, selaras dengan semangat “Berilmu Berbakti” yang menjadi teras kepada Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (10:05:31pm-10:10:31pm, 28 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]