Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022 Berlangsung Meriah | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022 Berlangsung Meriah

Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022 Berlangsung Meriah

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG, 1 Okt – Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022 telah berlangsung penuh meriah dengan kehadiran alumni seramai 800 orang memenuhi ruang Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Majlis yang bermula tepat jam 8.00 merupakan acara tradisi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan secara dwi-tahunan untuk meraikan para alumni UPM yang telah banyak berjaya dan menyumbang bakti kepada alma mater, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Namun untuk edisi 2020 ianya tidak dapat diadakan atas kekangan wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022 merupakan acara kemuncak dan penutup kepada Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) yang disambut sepanjang tahun dengan pelbagai aktiviti dan program yang diadakan dalam menyemarakkan sambutan jubli emas ini. Seiring dengan kematangan usia, Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI 2022 yang membawakan tema Seluhur Budi Sekalung Kasih melakar sejarah tersendiri apabila turut menghimpunkan alumni daripada pelbagai latar belakang, kelas pengajian dan fakulti di dalam satu dewan yang turut menyampaikan sumbangan kepada alma mater.

Majlis bertambah seri dan meriah apabila Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, sudi mencemar duli berangkat hadir ke majlis ini. Turut hadir, Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Yang Amat Mulia. Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Porf. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti@Zamri Ahmad dan pegawai tertinggi universiti.

Menurut Naib Canselor UPM YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh alumni UPM yang selama ini bersama-sama dengan universiti dalam menyokong dan mendokong visi dan misi universiti untuk mencapai taraf sebagai sebuah universiti bereputasi antarabangsa dalam menyumbangkan pelbagai bentuk sumbangan terutamanya dalam pembangunan modal insan pelajar dan sekaligus pemberian biasiswa kepada para pelajar yang memerlukan.

“Alumni adalah suri teladan untuk semua dan semangat Moto “Berilmu Berbakti” dan slogan “Kami bangga menjadi alumni UPM” dizahirkan menerusi sumbangan yang telah disalurkan. Antara yang cukup membanggakan, bermula tahun 2008, melalui Biasiswa Yayasan Pak Rashid seramai 23 orang pelajar telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM696,000 ribu. Ini memberi satu makna dan harapan yang cukup besar kepada pelajar, terutamanya mereka daripada keluarga B40, asnaf dan juga Orang Kelainan Upaya (OKU), Terima kasih saya ucapkan kepada para alumni yang telah memberikan sumbangan sama ada secara peribadi ataupun melalui chapter-chapter alumni yang telah ditubuhkan. Sumbangan yang diberikan tidak hanya dalam bentuk biasiswa tetapi juga UPM amat berbesar hati menerima sumbangan peranti yang telah diterima daripada pihak Yayasan Kebajikan Suria, Chapter Alumni JPPPL, Chapter Alumni Sastera dan Budaya dan banyak lagi dalam senarai penyumbang. Ini sangat memberi makna buat pelajar yang memerlukan.Terima kasih sekali lagi kepada para alumni semua.” Ujar beliau

Tambah beliau lagi, Komuniti alumni senior yang berjaya boleh menjadi medium atau ikon bagi memastikan jalinan kerjasama tersimpul kejab antara graduan dengan alumni yang lebih muda. Ini dapat dilihat menerusi pemindahan ilmu daripada kepakaran alumni dalam bidang masing-masing apabila Projek Agro Alumni Industri Mentoring and Coaching Programme (AIMAC), Projek Megachili 2021 dan Rock Melon telah berjaya membawa alumni bidang pertanian yang berjaya di luar sana bertindak selaku mentor kepada pelajar dari 10 kolej kediaman di kampus Serdang dan juga Bintulu. Sumbangan idea, kepakaran dan pemindahan ilmu ini dilihat satu usaha pemindahan ilmu yang berkekalan  untuk  dimanfaatkan oleh pelajar apabila bergraduat kelak.

Majlis tradisi ini juga diadakan bagi membolehkan universiti meraikan para alumni UPM yang selama ini telah memberikan sumbang bakti dalam pembangunan UPM tidak kira dari segi pendanaan biasiswa, sumbangan peribadi, sumbangan peranti, idea dan pelbagai bentuk sumbangan. Seramai 17 orang alumni menerima Anugerah Apreasiasi Alumni, empat orang penerima Anugerah Bakti Alumni, tiga untuk Anugerah Jasa Alumni, dua bagi Anugerah Perkasa Alumni dan Anugerah utama iaitu Anugerah Mutiara Alumni telah diberikan kepada Encik Ravichandran A/L Tharumalingam, atas pelbagai sumbagsih yang telah diberikan.

Kejayaan Majlis Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming 2022 adalah tanda kebersamaan dan semangat jalinan kerjasama yang tinggi antara alma mater dan alumni. Pusat Perhubungan Alumni selaku entiti yang menjadi penghubung antara alumni, persatuan alumni dengan universiti akan terus menjalankan tanggungjawab dan peranan yang besar ini untuk kejayaan universiti bukan sahaja dalam luar tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Majlis yang menjadi penutup tirai bagi Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM ini akan terus melakar satu sejarah dan memori yang akan dikenang oleh para alumni sebagai satu apreasiasi untuk para alumni UPM dan inilah tanda kesepakatan dalam ‘Sederap Melangkah Menuju al-Falah’.

Tarikh Input: 31/10/2022 | Kemaskini: 30/11/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaIAb~