Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 17 Disember – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara menerusi pelaksanaan Inisiatif Dapur Madani Alumni @ KOSASS, satu program berimpak tinggi hasil kerjasama strategik antara Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Persatuan Alumni UPM dan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS).

Inisiatif ini merupakan satu usaha murni yang bukan sahaja menyalurkan bantuan material kepada pelajar, malah menjadi simbol keprihatinan dan kasih sayang alumni terhadap alma mater serta mahasiswa UPM. Program ini memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan makanan asas bagi membantu pelajar yang memerlukan, khususnya dalam mengharungi cabaran kos sara hidup.
Menerusi program ini, sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Yayasan PEKEMA telah disalurkan melalui Persatuan Alumni UPM bagi pembekalan bahan keperluan asas daripada Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Sumbangan ini bertujuan menyokong operasi Dapur Madani di KOSASS agar pelajar dapat menikmati bekalan makanan secara berterusan.
Inisiatif tersebut turut diperkasakan dengan sumbangan makanan sedia dimakan (ready-to-eat) bernilai RM20,000 daripada Chapter Yosh bersama MyFundAction. Kolaborasi strategik ini memastikan pelajar bukan sahaja menerima bahan mentah untuk dimasak, malah turut mendapat akses kepada hidangan berkhasiat yang mudah disediakan, sekali gus menyokong kesejahteraan fizikal dan mental mereka.



Majlis simbolik penyerahan sumbangan yang berlangsung di Pusat Perhubungan Alumni UPM telah dihadiri oleh barisan penaja serta rakan strategik utama. Antaranya ialah Yang Mulia Raja Petra Maruddin Raja Nordin, Naib Presiden Yayasan PEKEMA; Encik Suhaimi, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan PEKEMA; Encik Mohd Hafiz Abdul Rashid, Biro Perhubungan Kastam & Logistik Yayasan PEKEMA; Encik Faaizul Aswad, Pengurus Pentadbiran & Operasi Yayasan PEKEMA; Encik Norashedy Ab Rashid, Presiden Persatuan Alumni UPM; dan Encik Shahruddin Mahadi, Timbalan Presiden Persatuan Alumni UPM.
Turut hadir ialah Dr. Salwa Abu Bakar, Pengarah Syarikat Faiza Sdn. Bhd.; Dr. Mohd Hadi Akbar Basri, Pengetua Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS); Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM; serta Encik Mohd Asyraff Yusuf, wakil Chapter Yosh bersama MyFundAction.

Program ini turut dimeriahkan dengan sesi “Meet & Greets” bersama Alumni UPM, yang bertujuan mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh hubungan silaturahim antara alumni dan mahasiswa, sekali gus memupuk semangat kekitaan dan sokongan berterusan dalam komuniti universiti.

Kesimpulannya, Inisiatif Dapur Madani Alumni @ KOSASS membuktikan bahawa sinergi erat antara universiti, alumni dan rakan strategik mampu memberi impak positif yang signifikan kepada kebajikan mahasiswa. Usaha bersepadu ini bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah menyemai nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti kampus. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan demi menjamin kelestarian dan kesejahteraan mahasiswa Universiti Putra Malaysia.
Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 14/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor