Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 10 April 2026 — Satu majlis penutup sempena program Latihan Sambil Bekerja (On-the-Job Training, OJT) telah diadakan di Bilik Menara Warisan Budi, Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) bagi menghargai pembentangan oleh wakil Jabatan Pengurusan Pelajar, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), iaitu Cik Azila Binti Kamarjaman.
Program latihan selama seminggu ini bertujuan memberi pendedahan kepada beliau mengenai peranan dan fungsi ARCUPM dalam mengurus serta memperkukuh hubungan antara alumni dan institusi merentasi generasi. Sepanjang tempoh latihan, beliau berpeluang memahami bagaimana setiap unit di ARCUPM berfungsi secara bersepadu dalam memastikan kelancaran pengurusan jaringan alumni.

Sepanjang program berlangsung, Cik Azila menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi melalui penglibatan aktif serta sikap terbuka dalam mempelajari perkara baharu. Kehadiran beliau turut disambut mesra oleh warga ARCUPM yang berkongsi pengetahuan berkaitan budaya kerja, sejarah serta pengurusan hubungan alumni di UPM.
Cik Azila yang bertugas di kampus UPM Bintulu, Sarawak turut menyatakan bahawa pengalaman latihan di ARCUPM amat bermakna dan memberikan banyak pembelajaran baharu. Beliau berharap hubungan profesional yang terjalin dapat diteruskan demi manfaat bersama antara UPM dan UPMS.
Secara keseluruhannya, program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen beliau, sekali gus mencerminkan komitmen ARCUPM dalam memperkukuh perkongsian ilmu dan kerjasama institusi.

Tarikh Input: 13/04/2026 | Kemaskini: 13/04/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor