Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 14 Januari 2026 – Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia telah melancarkan Program Sambutan 30 Tahun penubuhannya sebagai tanda penghargaan terhadap legasi idea, nilai serta sumbangan fakulti sejak ditubuhkan tiga dekad lalu.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna ini telah menghimpunkan barisan mantan dekan FRSB, antaranya Profesor Dr. Osman Mohd Tahir dan Dr. Zarina Ibrahim, selain beberapa mantan dekan terdahulu. Kehadiran mereka mencerminkan kesinambungan kepimpinan serta semangat kebersamaan warga fakulti yang terus terpelihara merentas generasi.


Sambutan ulang tahun ini mengangkat tema “Imbauan Masa Lalu, Raikan Masa Kini dan Membentuk Masa Depan” sebagai gambaran perjalanan FRSB yang konsisten, progresif dan relevan dalam landskap pendidikan reka bentuk dan seni bina. Tema tersebut turut mencerminkan keupayaan fakulti untuk berkembang selari dengan perubahan semasa tanpa mengabaikan jati diri dan nilai terasnya.
Majlis turut memperkenalkan slogan TEMAN yang membawa pengertian Tiga Dekad, Evolusi, Masa, Aspirasi dan Naratif. Slogan ini melambangkan kebersamaan seluruh komuniti fakulti yang merangkumi pensyarah, pelajar, alumni, rakan industri serta masyarakat.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Ir. B. T. Hang Tuah Baharudin yang berkongsi perjalanan awal FRSB yang bermula dengan hanya 40 orang pelajar sebelum berkembang sebagai sebuah fakulti berprestij pada hari ini. Beliau turut menzahirkan harapan agar sambutan 30 tahun ini dapat menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi, khususnya dalam mendepani cabaran era kecerdasan buatan. Sebanyak lapan program telah dirancang sepanjang tempoh sambutan ini.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia, serta Encik Shahrudin Mahadi, Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia, yang mencerminkan sokongan berterusan komuniti alumni terhadap pembangunan fakulti.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengenang pencapaian lalu, malah berperanan sebagai landasan bagi FRSB untuk terus memperkukuh peranannya dalam membentuk masa depan pendidikan reka bentuk dan seni bina negara.
Tarikh Input: 15/01/2026 | Kemaskini: 15/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor