Majlis Mesra Alumni 2024 Memperkasakan Alumni UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Majlis Mesra Alumni 2024 Memperkasakan Alumni UPM

Majlis Mesra Alumni 2024 Memperkasakan Alumni UPM

Oleh: Nur Sara Hazeqqa

Suntingan: Suziana Che Wil

 

Serdang, 7 Mei - Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) telah menganjurkan Majlis Mesra Alumni 2024 sebagai usaha memperkasakan hubungan alumni UPM bersama universiti. Penglibatan alumni ini dapat mengukuhkan hubungan strategik antara alumni UPM juga.

Majlis yang bermula pada jam 10:00 pagi di Auditorium Rashdan Baba, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) ini telah dihadiri hampir 200 orang alumni UPM. Jumlah ini termasuk alumni yang masih berkhidmat di UPM dan juga alumni UPM daripada industri.

Acara tahunan ini merupakan satu medium dan ruang pertemuan semula dan temu mesra sesama alumni dan alumni UPM bersama pihak pengurusan serta wakil Universiti yang diterajui oleh ARCUPM. Majlis Mesra Alumni 2024 juga menjadi platform interaktif bagi membolehkan alumni terlibat secara aktif dalam menyumbangkan idea dan tenaga untuk meningkat kecemerlangan UPM dan pelajar.

“Tema kita pada tahun 2024 ialah ‘Alumni UPM Berilmu Berbakti’ dan bagi menzahirkan matlamat ini penglibatan daripada para alumni UPM sangat diperlukan. Saya amat berbesar hati melihat sambutan dan komitmen yang telah diberikan oleh kesemua alumni yang hadir pada hari ini. Majlis ini juga secara tidak langsung membina hubungan alumni UPM yang lebih kukuh, berterusan, dan memberi kesan positif kepada perkembangan dan kecemerlangan universiti kebanggaan kita,” ujar Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM.

Hubungan yang kukuh bersama alumni akan terus memberi manfaat kepada universiti terutamanya pelajar untuk mereka juga membina kejayaan seperti idola mereka yang telah dalam industri masing-masing.

 

Tidak dinafikan alumni merupakan sosok yang paling hampir dengan pelajar. Pelajar menjadikan setiap kejayaan alumni mereka sebagai sumber inspirasi untuk menerusikan legasi kejayaan universiti. Untuk itu, peranan alumni sangat dituntut dan dialu-alukan untuk kembali berbakti kepada universiti untuk bersama-sama membina bangsa yang cemerlang bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Turut hadir pada majlis ini, Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato' Raihan Sharif, yang turut menzahirkan komitmen untuk terus membantu memajukan UPM melalui hubungan yang telah terjalin sejak dahulu lagi.

Tarikh Input: 07/05/2024 | Kemaskini: 26/06/2024 | shahirahalia

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
S.2025/3/13:2:03:47~noCache